WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Projek Terowong Tetap Masuk Dalam RFP, Walaupun Kajian Pembinaan Sukar - Saksi

28/02/2025 04:03 PM

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa kerajaan Pulau Pinang tetap memasukkan projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di negeri itu dalam dokumen permintaan untuk cadangan (RFP), walaupun kajian pembinaan projek itu dijangka menghadapi kesukaran.

Bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, 66, berkata kesukaran berhubung kajian itu dinyatakan oleh pihak Beijing Urban Construction Group (BUCG) dalam minit mesyuarat antara kerajaan negeri dengan BUCG pada 10 Mei 2011.

“Sehubungan itu pihak BUCG mohon agar jabatan atau agensi kerajaan negeri turut menyumbang pendapat dalam proses penyediaan kajian kesesuaian agar ia selaras dengan perancangan dan boleh diterima pakai oleh kerajaan negeri,” katanya ketika membacakan minit mesyuarat itu.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dalam perbicaraan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut di negeri berkenaan.

Saksi pendakwaan ke-23 itu berkata BUCG ada melantik perunding yang akan dianggotai oleh pakar-pakar dari Malaysia dan China bagi menjalankan kajian kesesuaian dan reka bentuk projek dalam tempoh tiga bulan. 

Zarul Ahmad berkata setelah kejayaan keseluruhan dan reka bentuk mendapat persetujuan perunding bebas dan kerajaan negeri, dokumen RFP akan disediakan. 

Wan Shaharuddin: Datuk Zarul (Zarul Ahmad) beritahu sejak 10 Mei 2011, kajian projek tersebut sukar dilakukan, tetapi kerajaan negeri (Pulau Pinang) masukkan juga dalam RFP?

Zarul Ahmad: Betul.

Ditanya Wan Shaharuddin mengapa ‘Feasibility Study’ dan ‘Detail Design’ projek tersebut masih belum selesai sehingga kini? Zarul Ahmad menjawab: “Banyak lagi yang yang memberi kesan kepada kajian, contohnya aliran kapal dan pepabuhan belum diselesaikan lagi sampai hari ini”.

Berdasarkan pertuduhan pindaan pertama, Lim, 64, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah untuk membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik bagi projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan kerana menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju yang berkaitan dengan projek terowong dasar laut di negeri itu.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar, pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 14 April ini.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan