MELAKA, 28 Feb (Bernama) -- Seramai 16 pegawai dan anggota polis dibuang kerja pada Januari lepas, kata Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Seri Azri Ahmad.
Beliau berkata daripada jumlah itu, ia membabitkan empat pegawai kanan polis berpangkat inspektor manakala bakinya melibatkan anggota berpangkat rendah.
"Kebanyakan yang dibuang itu terlibat dalam kes-kes narkotik sama ada memiliki atau mengambil dadah dan mereka telah dituduh serta disabitkan bersalah di mahkamah.
"Mereka juga menjalani proses tatatertib yang selalunya berakhir dengan buang kerja," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.
Majlis serah terima tugas itu, antara pemangku Ketua Polis Melaka Datuk Md Nazri Zawawi yang menyerahkan jawatannya kepada Ketua Lesen Pasukan, Urusetia Ketua Polis Negara (KPN) (Lesen Senjata Api) Bukit Aman Datuk Dzulkhairi Mukhtar.
Dalam pada itu, Azri berkata pihaknya sedang menyiapkan draf cadangan bagi mempercepat proses buang kerja pegawai dan anggota yang disabitkan bersalah untuk diangkat ke Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Beliau berkata langkah itu diambil sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan integriti warga pasukan kekal utuh.
Sementara itu, Dzulkhairi berkata beliau akan bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan negeri dan Persekutuan di Melaka, terutama membabitkan kelancaran trafik agar memberi lebih keselesaan kepada pelancong serta pengunjung yang datang melancong ke negeri berkenaan.
"Yang paling penting keselamatan mereka terjamin dan saya akan berusaha untuk menurunkan rasa 'fear factor' dalam kalangan pelancong supaya mereka tak ragu-ragu untuk keluar seorang diri pada waktu malam," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial