WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Wasco Catat Prestasi Kewangan Terbaik Tahun Kewangan 2024, Umum Dividen 2 Sen

01/03/2025 06:53 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Penyedia penyelesaian tenaga, Wasco Bhd mencatatkan prestasi kewangan terbaik dalam sejarahnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024 dengan kenaikan 41.2 peratus dalam keuntungan bersihnya kepada RM153.04 juta.

Perolehan turut meningkat kepada RM3.18 bilion berbanding RM2.61 bilion pada tahun sebelumnya.

Wasco dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya turut mengumumkan dividen sebanyak dua sen sesaham iaitu pembayaran pertama kumpulan sejak 2020.

Syarikat berkata ia juga menutup 2024 dengan hasil suku keempat yang "luar biasa."

Perolehan meningkat sebanyak 22.9 peratus tahun ke tahun kepada RM984.40 juta manakala keuntungan bersih meningkat sedikit kepada RM35.27 juta berbanding RM35.22 juta tahun sebelumnya.

Secara sukuan, keuntungan bersih Wasco meningkat 41 peratus daripada RM25.02 juta yang dicatatkan pada suku ketiga tahun kewangan 2024.

"Peningkatan ketara dalam keuntungan dipacu oleh sumbangan perolehan yang lebih tinggi semasa suku tersebut, disokong oleh penyelesaian projek utama dalam sektor gas asli cecair (LNG), industri, pemerangkapan karbon dan tenaga boleh baharu," katanya.

Syarikat berkata prestasi untuk tahun kewangan 2024 berjaya memecah rekod dipacu oleh pelaksanaan yang kukuh di semua segmen perniagaan dengan suku keempat memberikan momentum pertumbuhan yang lebih baik.

Ia berkata bahagian perkhidmatan tenaga mencatatkan perolehan tahunan sebanyak RM2.6 bilion, naik 14 peratus berbanding RM2.3 bilion pada tahun kewangan 2023.

Perolehan pada suku keempat tahun kewangan 2024 sebanyak RM856.6 juta, berbanding RM722.5 juta pada tempoh yang sama pada 2023.

Sepanjang tempoh kewangan tersebut, unit perkhidmatan saluran paip menyiapkan 570 kilometer salutan paip untuk Projek Pengembangan North Field di Qatar, satu inisiatif infrastruktur Gas Asli Cecair (LNG) yang penting.

Bagi bahagian perkhidmatan biotenaganya, Wasco berkata ia mencatatkan perolehan sebanyak RM276.7 juta untuk tahun tersebut dan pada suku keempat tahun kewangan 2024, perolehan yang direkodkan adalah RM75.2 juta.

Seiring dengan kumpulan yang terus menyokong industri tenaga melalui pertumbuhan dan perkhidmatan yang mampan, bahagian ini mengembangkan portfolio tenaga bersihnya sambil memajukan inisiatif sisa kepada tenaga dan ekonomi kitaran, selaras dengan Kerangka Kerja Kewangan Peralihan Mampan Wasco.

Secara kumulatif, sepanjang tahun, sebanyak 1,764 unit turbin dijual yang seterusnya membuka peluang besar bagi bahagian Perkhidmatan Biotenaga daripada perkhidmatan selepas jualannya yang menyumbang kira-kira 34 peratus dan 28 peratus daripada jumlah perolehan, masing-masing untuk tahun kewangan 2024 dan tahun kewangan 2023.

 

Unjuran Untuk 2025

 

Wasco memasuki 2025 dengan momentum yang kukuh, disokong dengan nilai tender sebanyak RM10.4 bilion dengan nilai perolehan kontrak dalam tangan yang disahkan sebanyak RM2.5 bilion sekali gus memastikan keterlihatan pendapatan dan potensi pertumbuhan yang pelbagai.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wasco, Giancarlo Maccagno berkata prestasi rekod kumpulan untuk tahun kewangan 2024 dan hasil cemerlang suku keempat melebihi jangkaan pasaran dan ia sebagai bukti kemampuan kumpulan untuk merebut peluang pasaran, mengoptimumkan operasi dan mengekalkan keuntungan.

"Prestasi ini mencerminkan asas perniagaan kami yang kukuh dan kami berbesar hati untuk mengumumkan dividen pertama sejak 2020, secara tidak langsung mengukuhkan keyakinan kami terhadap pertumbuhan jangka panjang Wasco dan komitmen untuk mencipta nilai bagi pemegang saham kami,” katanya.

Kumpulan berada dalam kedudukan yang baik untuk meneruskan momentum ini dalam tahun kewangan 2025 dengan projek utama yang sedang berjalan di seluruh dunia, dipacu oleh kemampuan pelaksanaan cemerlang Wasco serta komitmen terhadap keselamatan dan kecemerlangan.

Selain itu, bahagian Perkhidmatan Bioetenaga terus memacu pengembangan dalam penjanaan tenaga biojisim, dengan peluang strategik selanjutnya sedang dinilai untuk membuka lebih banyak nilai kepada pemegang saham.

"Kami bukan sekadar mencapai sasaran, sebaliknya kami sedang merebut peluang untuk berinovasi, berkembang dan mencipta impak yang berkekalan.

“Wasco sedang membentuk masa depan tenaga dengan penyelesaian terintegrasi untuk pasaran tenaga tradisional dan tenaga bersih," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan