WILAYAH - SARAWAK > BERITA

HALMAS Catat Pelaburan Terkumpul RM16.75 Bilion Bagi Tempoh 2012-2024 - MITI

03/03/2025 01:41 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Sebanyak 841.18 hektar atau 15.3 peratus daripada keseluruhan keluasan Taman Industri Halal berstatus HALMAS (Halal Malaysia) di seluruh negara mencatatkan pelaburan terkumpul RM16.75 bilion bagi tempoh 2012 hingga 2024.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata sebanyak 14 HALMAS telah dibina di seluruh negara dengan jumlah keluasan 5,484.74 hektar tanah yang tersedia untuk aktiviti perdagangan dan pelaburan.

Katanya ia merangkumi 361 syarikat yang terdiri daripada 51 syarikat multinasional (MNC) serta 310 perusahaan kecil dan sederhana (PKS). 

“HDC sebagai agensi bertanggungjawab di bawah kementerian sedang melaksanakan kajian penambahbaikan rangka kerja HALMAS yang baharu termasuk Tanjung Manis Halal Hab di Sarawak.

“Kajian khusus pembangunan rangka kerja HALMAS sedang dijalankan dan dibantu oleh syarikat perunding swasta dalam mengenal pasti cabaran dan dapatan sebenar daripada pemain industri. Ia dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama 2025,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) yang ingin tahu rancangan kementerian untuk membantu kerajaan Sarawak dalam usaha mempromosikan Hab Halal di Tanjung Manis ke peringkat antarabangsa.

Beliau berkata rangka kerja HALMAS tersebut turut meliputi kaedah pengoperasian, mekanisme tadbir urus serta tawaran insentif yang berkaitan.

Dalam menjadikan Malaysia sebagai hab halal global, katanya sistem rantaian nilai atau bekalan industri halal perlu diperkukuh dengan memberikan penekanan terhadap peranan taman industri halal supaya menjadi lebih mesra industri. 

“Usaha ini melibatkan empat tindakan utama iaitu meningkatkan aktiviti promosi di taman industri HALMAS sebagai destinasi pelaburan, mewujudkan perkhidmatan sokongan dan fasilitasi berinovasi, meningkatkan perkongsian fasiliti perniagaan dan menggalakkan integrasi perniagaan melalui platform pendigitalan,” katanya. 

Sementara itu, katanya Tanjung Manis Halal Hab di Sarawak telah mencatatkan pelaburan sebanyak RM18 juta meliputi sebuah syarikat asing dan dua syarikat tempatan, iaitu anak syarikat kerajaan negeri. 

“Tanjung Manis Halal Hab antara Taman Industri Halal yang berstatus HALMAS sejak 2010 dengan jumlah keluasan tanah tersedia sebanyak 4,040.38 hektar untuk aktiviti pelaburan berkaitan.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 197.16 hektar atau 4.9 peratus telah dibangunkan untuk kemudahan infrastruktur asas, aktiviti pertanian iaitu penanaman nanas dan aktiviti akuakultur iaitu ternakan udang,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan