WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kes Keganasan Rumah Tangga Meningkat Kepada 7,116 Kes Pada 2024

04/03/2025 02:37 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac (Bernama) -- Statistik kes keganasan rumah tangga yang direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan peningkatan iaitu 7,116 kes tahun lepas berbanding 5,507 kes pada 2023.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata susulan itu, keperluan pindaan ke atas Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) serta perundangan lain yang berkaitan akan dikaji dari semasa ke semasa bagi memastikan kawalan dan tindakan perundangan ditambah baik.

“Pada waktu ini Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meletakkan  fokus utama pengurusan kes keganasan rumah tangga dengan kerjasama strategik agensi kerajaan serta pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) melalui penubuhan Jawatankuasa Menangani  Keganasan Rumah Tangga (JKRT).

“JKRT memainkan peranan menyelaras dan memantau isu dan inisiatif berkaitan keganasan rumah tangga secara holistik meliputi inisiatif seperti analisis ke atas data kes keganasan rumah tangga, aspek advokasi, bantuan perlindungan, khidmat sokongan dan penguapayaan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) yang ingin tahu sama ada kementerian bercadang memperkenalkan sebarang pindaan undang-undang dalam meningkatkan perlindungan kepada mangsa keganasan rumah tangga.

Menjelas lanjut, Noraini berkata melihat kepada kepentingan institusi keluarga yang kukuh sebagai asas pembinaan masyarakat, KPWKM sedang mengemas kini Dasar dan Pelan Tindakan Keluarga Negara bagi memastikan dasar itu selari dengan struktur keluarga masa kini.

“Menjadi harapan KPWKM, dengan adanya struktur keluarga yang utuh dan nilai-nilai kekeluargaan yang positif secara tidak langsung dapat mengurangkan kes keganasan rumah tangga yang berlaku.

“Melalui pendekatan menyeluruh whole-of-government dan whole-of-society, KPWKM akan terus komited dalam menangani kes keganasan rumah tangga kerana menerusi jaringan kerjasama dan sinergi pelbagai sektor ini, semua agensi dan lapisan masyarakat dapat memainkan peranan dan tanggungjawab bersama untuk memberi sokongan sosial kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan