SHAH ALAM, 4 Mac (Bernama) -- Polis merakam keterangan enam individu bagi membantu siasatan berhubung kes seorang guru lelaki sebuah sekolah di Dengkil, Sepang dipercayai mempunyai hubungan ‘istimewa’ dengan anak muridnya berusia 12 tahun.
Ketua Polis Daerah Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata individu berkenaan merangkumi mangsa, bapa mangsa, dua guru termasuk suspek dan dua pelajar lain.
Beliau berkata polis turut merampas telefon bimbit milik mangsa dan suspek untuk dianalisis bagi membantu siasatan.
“Siasatan hampir selesai dan hanya menunggu laporan perubatan daripada pihak hospital sebelum kita melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Hussein berkata siasatan awal mendapati mangsa adalah pelajar cemerlang, aktif dalam kokurikulum serta tidak mempunyai masalah disiplin di sekolah.
“Suspek pula tidak mempunyai rekod salah laku disiplin dan memperoleh penilaian prestasi tinggi sepanjang lima tahun berkhidmat sebagai guru. Suspek juga seorang duda dan bapa kepada tiga anak," katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman dilaporkan berkata pihaknya menerima laporan daripada bapa kandung mangsa pada 26 Februari lepas selepas menyedari anak perempuannya kerap berhubung dengan guru berusia 30-an itu melalui aplikasi TikTok, Love8 dan WhatsApp dalam keadaan mencurigakan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial