WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Polis Tumpaskan Sindiket Curi Kabel TM Di Alor Gajah

04/03/2025 07:57 PM

ALOR GAJAH, 4 Mac (Bernama) -- Polis menumpaskan sindiket curi kabel Telekom Malaysia (TM) di sekitar daerah ini yang merekodkan kerugian kira-kira RM60,000 hasil penahanan empat suspek termasuk seorang wanita di Kuala Sungai Baru di sini, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ashari Abu Samah berkata kesemua mereka berusia antara 30 dan 34 tahun itu ditahan ketika serbuan di sebuah inap desa pada kira-kira 2 petang hasil maklumat orang awam dan risikan polis.

"Hasil soal siasat mendapati semua suspek mengaku terlibat dengan enam lagi kes curi kabel di kawasan pentadbiran Alor Gajah selain terbabit dengan dua lagi kes curi kabel di sekitar Selangor.

"Dipercayai kumpulan itu aktif sejak dua bulan lepas dengan menyasarkan kawasan sunyi di kampung-kampung untuk menjalankan kegiatan curi kabel sekitar 2 hingga 6 pagi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ashari berkata mereka juga disyaki memotong antara 100 hingga 150 meter kabel TM bawah tanah di tepi jalan setiap kali melakukan kegiatan itu dengan nilai kerugian dianggarkan antara RM8,000 hingga RM10,000.

Katanya hasil siasatan juga mendapati kesemua suspek yang beralamat di Lembah Klang itu menyewa dua kereta untuk menjalankan aktiviti mereka selain menginap di inap desa berkenaan sejak dua bulan lepas.

"Dalam serbuan itu polis turut merampas gelungan kabel, lima alat pemotong kabel pelbagai jenis dan dua kereta tersebut selain satu peket plastik lut sinar berwarna biru yang mengandungi batu kristal dipercayai dadah jenis syabu.

"Kita juga giat mengesan saki-baki individu yang dipercayai terlibat dengan sindiket curi kabel ini kerana dipercayai mereka menjalankan kegiatan berkenaan secara berkumpulan dan memainkan peranan masing-masing seperti mencuri serta melupus," katanya.

Ashari berkata hasil ujian air kencing mendapati dua daripada empat suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Hasil semakan rekod lampau juga mendapati kesemua suspek mempunyai pelbagai rekod lampau melibatkan kesalahan jenayah dan narkotik. 

“Kesemua suspek direman antara empat hingga tujuh hari bermula 28 Feb hingga 5 Mac bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 431a Kanun Keseksaan, Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12 (3) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan