KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Institut Sukan Negara (ISN) kekal komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang menerusi program persediaan di bawah agensi itu selagi beliau mahu meneruskan khidmat sebagai atlet.
Ketua Pegawai Eksekutif ISN Dr P. Vellapandian berkata perkara itu tidak hanya tertakluk kepada Mohd Azizulhasni yang sebelum ini menerima bantuan di bawah program Road to Gold (RTG), tetapi juga kepada mana-mana atlet dalam Program Podium yang turut menjadi keutamaan ISN.
“Saya tidak kata banyak perhatian tetapi terpulang, saya fikir penglibatan Mohd Azizulhasni semula pun kita tiada hitam putih… Kita tak dimaklumkan bahawa dia akan berlatih semula tapi seperti biasa, jika atlet itu di bawah program (RTG dan Podium) kita akan berikan perkhidmatan seperti yang diberikan sebelum ini.
“Kita terus berikan perkhidmatan tanpa sebarang halangan. Keutamaan akan diberikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada skuad besbol5 (B5) negara yang akan menyertai Piala Remaja Asia B5 di sini hari ini.
Pada 20 Feb lepas, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh bertemu Mohd Azizulhasni, namun sedang menunggu masa sesuai untuk mengumumkan hala tuju karier bekas juara dunia keirin itu.
Ia susulan Mohd Azizulhasni masih berteka-teki dan belum memberikan kata putus berhubung masa depannya selepas penampilan terakhir pada Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.
Sementara itu, Vellapandian berharap skuad B5 mempamerkan semangat juang tinggi untuk menamatkan saingan di kedudukan tiga teratas pada kejohanan yang akan berlangsung di Taiwan pada 11 Mac ini.
Beliau berkata ia akan mencerahkan peluang melayakkan diri ke Piala Dunia di Mexico dan Sukan Olimpik Remaja di Senegal tahun depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial