KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Pas khas kepada pelabur atau kumpulan ekspatriat akan dikeluarkan mulai 1 April ini bagi membolehkan mereka tinggal lebih lama di negara ini untuk urusan perniagaan dan pelaburan masing-masing.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pas khas ini akan dikeluarkan melalui kaedah single window bagi memudahkan kemasukan golongan tersebut, dengan proses pengeluaran dilakukan secara elektronik.
"Kita akan perkenalkan pas baharu khusus untuk pelabur bagi memudahkan urusan kemasukan dan memastikan kelancaran aktiviti perniagaan mereka.
"Lagi cepat permohonan mereka diproses dan dipermudahkan, lebih baik penerimaan mereka terhadap iklim perniagaan di negara kita. Itu adalah peranan Jabatan Imigresen," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) mengenai kesediaan Jabatan Imigresen dalam mempermudah serta menyediakan kemudahan bagi mengurangkan kebergantungan pelabur asing terhadap ejen dalam mendapatkan pas tertentu.
Menjawab soalan asal Lee berhubung penambahbaikan perkhidmatan, beliau berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) komited untuk menyelesaikan baki 11,700 permohonan pas dan permit masuk menjelang Jun ini dalam usaha mempermudah urusan penyampaian kepada rakyat.
Saifuddin Nasution berkata ketika ini, 80 peratus daripada setiap 100 permohonan permit masuk merupakan daripada isteri warga asing yang berkahwin dengan rakyat tempatan.
“Secara keseluruhan, Jabatan Imigresen mengeluarkan hampir tiga juta pas setahun, dengan pas paling popular ialah Pas Lawatan Kerja Sementara, Pas Pelajar dan Pas Pasangan,” katanya.
Menerusi agenda digitalisasi, beberapa jenis pas yang mendapat permohonan tinggi kini boleh diuruskan secara dalam talian, sekali gus menjimatkan kos perbelanjaan kerajaan, termasuk penjimatan sebanyak RM13 juta untuk mencetak pelekat pas bagi ditampal pada pasport.
“Kini, pelekat tidak lagi diperlukan kerana pemegang pas hanya perlu membawa peranti yang memaparkan status pas mereka,” katanya.
Beliau berkata bagi pembaharuan Pas Lawatan Kerja Sementara yang telah tamat tempoh, majikan tidak lagi perlu hadir ke kaunter untuk memperbaharuinya.
Hasilnya, kesesakan di kaunter perkhidmatan pas berkurangan sehingga 70 peratus, sejajar dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mahu perkhidmatan awam beralih ke arah digitalisasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial