KANGAR, 6 Mac (Bernama) -- Seorang pemandu komuter mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan merompak dengan bersenjatakan pisau di sebuah perpustakaan desa, pada minggu lepas.
Muhammad Hafiz Ruslan, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa merompak rantai tangan milik seorang wanita berusia 39 tahun dengan bersenjatakan pisau pada 9.40 pagi 27 Feb, di Perpustakaan Desa, Kampung Tersusun di Padang Besar.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau disebat jika sabit kesalahan dengan seksyen 397 mewajibkan sebatan.
Mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia berserta syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis setiap bulan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 7 April.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nabilah Ahmad Poad manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Alif Farhan Mohamad Supian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial