WILAYAH - UTARA > BERITA

Sultan Kedah, Kerabat Diraja Kurniakan 1,200 Kotak Barangan Makanan

07/03/2025 11:32 AM

ALOR SETAR, 7 Mac (Bernama) -- Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan keluarga baginda mengurniakan 1,200 kotak barangan makanan bagi membantu golongan memerlukan sempena Ramadan ini.

Simbolik penyerahan sumbangan itu diadakan pada Majlis Kurniaan Keluarga Diraja Sultan Negeri Kedah dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Tuanku Sultan Kedah yang berlangsung di Balai Santapan Besar, Istana Anak Bukit, di sini, malam tadi.

Turut berangkat ke majlis itu Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Tunku Mahkota Kedah Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin.

Menurut kenyataan Pejabat Tuanku Sultan Kedah, majlis itu diadakan sebagai tanda penghargaan dan keprihatinan Sultan Kedah terhadap rakyat Kedah, khususnya dalam bulan Ramadan, selain meneruskan tradisi institusi diraja dalam mengeratkan hubungan dengan masyarakat.

“Secara keseluruhan, kurniaan ini melibatkan 12 daerah di negeri Kedah, dengan setiap daerah menerima 100 kotak kurniaan, menjadikan jumlah keseluruhan 1,200 kotak yang mengandungi barangan makanan dan akan diagihkan melalui Pegawai Daerah masing-masing.

“Inisiatif ini bertujuan membantu golongan memerlukan dan menyemarakkan semangat kebersamaan dalam bulan Ramadan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan