WILAYAH - SELATAN > BERITA

Bubur Lambuk Untuk Pengunjung Stadium Sultan Ibrahim Sempena Aksi ACL Elite

07/03/2025 01:31 PM

JOHOR BAHRU, 7 Mac (Bernama) -- Juadah bubur lambuk akan disediakan untuk lebih 20,000 pengunjung sempena pertembungan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Buriram United pada aksi kedua pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Asia Elite (ACL Elite) 2024/25  di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 11 Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Johor Mohd Hairi Mad Shah berkata ia selaras dengan titah Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail agar makanan berbuka puasa disediakan untuk pengunjung dan peminat yang hadir menyaksikan perlawanan itu.

“Duli Yang Maha Mulia Pemangku Sultan Johor telah meminta agar makanan berbuka puasa disediakan secara bungkusan untuk diberikan kepada para pengunjung dan peminat yang hadir. 

“Justeru, kita akan sediakan dalam 70 hingga 80 periuk bubur lambuk untuk lebih 20,000 orang selain kurma, kuih muih dan mi kawah,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini semalam.

Beliau berkata Stadium Sultan Ibrahim yang mampu memuatkan kira-kira 40,000 penonton turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk ruang solat.

Mohd Hairi berkata pertembungan kedua-dua pasukan dijangka hebat memandangkan tiket telah habis terjual.

“Saya menyeru seluruh rakyat Johor dan warga Malaysia untuk hadir beramai-ramai ke Stadium Sultan Ibrahim bagi memberikan sokongan memandangkan pasukan kesayangan kita, JDT merupakan wakil tunggal negara dalam kejohanan ACL Elite,” katanya.

JDT dan Buriram United terikat tanpa jaringan pada aksi pertama di Stadium Buriram pada 4 Mac lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan