WILAYAH - SELATAN > BERITA

Kebersihan Bazar Ramadan Johor Pada Tahap Baik - Exco

07/03/2025 12:20 PM

JOHOR BAHRU, 7 Mac (Bernama) -- Kebersihan bazar Ramadan di Johor berada pada tahap yang baik dengan mencatatkan markah lebih 80 peratus, menerusi pemeriksaan terhadap 1,240 premis bazar di negeri itu setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata peniaga turut mematuhi prosedur pengendalian makanan berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ).

“Mengikut premis yang diperiksa JKNJ iaitu sebanyak 1,240 premis, semua adalah bersih dan pada tahap yang baik dengan markah lebih 80 peratus.

“Ini bermaksud mereka (peniaga) menyediakan makanan dengan bersih mengikut prosedur, pakai apron sarung tangan, topi dan sebagainya,” katanya pada sidang media Program Walkabout Premis Bazar Ramadan di Angsana Johor Bahru Mall, di sini semalam.

Ling berkata setakat ini tiada premis diarahkan tutup dan hanya terdapat satu notis kompaun RM100 dikeluarkan kepada peniaga bagi kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Menurutnya, JKNJ sentiasa memberikan pendidikan kesihatan kepada pengendali makanan di negeri itu termasuk penguatkuasaan berkaitan penggunaan dawai kokot dalam penyediaan dan penjualan kuih-muih tradisional seperti tepung pelita dan pulut panggang.

Sementara itu, Ling turut meminta orang ramai supaya memanfaatkan platform aduan seperti Talian WhatsApp Aduan Kebersihan Premis Makanan yang merupakan inisiatif tambahan Program Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan. 

“Ini merupakan satu daripada langkah pemantauan dan advokasi sekali gus melengkapkan ekosistem saluran sedia ada. Ia juga memberi kemudahan kepada orang awam untuk menyalurkan aduan berkaitan aspek keselamatan dan kualiti makanan dengan lebih mudah, pantas dan mesra pengguna,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan