WILAYAH - SARAWAK > BERITA

202 Lokasi PJRM Di Negeri Sembilan Sempena Ramadan - KPDN

09/03/2025 12:27 PM

SEREMBAN, 9 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan melaksanakan Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di 202 lokasi di seluruh negeri sempena Ramadan.

Pengarahnya Muhammad Zahir Mazlan berkata ia membabitkan jualan Rahmah di premis, termasuk di beberapa pasar raya terpilih selain jualan secara bergerak serta Bazar Ramadan Rahmah (BRR).

“Tahun ini, tiga lokasi diadakan BRR iaitu di  Bazar Stadium Tampin, Port Dickson dan Batu Kikir di Juasseh selama tiga hari hingga hari ini sekali gus memudahkan pengunjung dan pengusaha Menu Rahmah membeli barangan keperluan harian pada harga berpatutan.

“Program seperti ini amat penting bagi membantu rakyat selain memastikan tiada yang tercicir, terutama ketika menyambut Ramadan yang penuh makna ini. Setakat ini sambutan orang ramai terhadap PJRM sangat menggalakkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau turut memohon kerjasama pelbagai pihak termasuk jabatan dan agensi, persatuan, pertubuhan  bukan kerajaan serta komuniti setempat untuk membantu menyebarluaskan maklumat mengenai PJRM. 

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terperinci mengenai PJRM di laman sosial agensi itu iaitu Facebook: KPDN Negeri Sembilan; Instagram: kpdnns; TikTok : kpdnns dan laman X : KPDNNSembilan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan