KUCHING, 7 Mac (Bernama) -- Lebih 800 jururawat dari Sarawak yang kini bertugas di luar negeri berhasrat untuk berkhidmat di kampung halaman mereka, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Dr Sim yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri berkata terdapat kekosongan jawatan di Sarawak pada masa ini yang dapat memenuhi permintaan mereka.
Beliau berkata penempatan petugas penjagaan kesihatan ialah satu daripada isu yang sedang dibincangkan antara kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Itulah sebabnya kita mahu menguruskan sistem penjagaan kesihatan daripada menunggu keputusan penempatan oleh kerajaan Persekutuan. Perkara ini antara isu di bawah MA63 yang dibincangkan supaya kita dapat membuat keputusan sendiri.
“Kami (memahami) bahawa kebanyakan mereka lebih suka untuk bekerja di negeri asal. Kos untuk pulang ke kampung halaman juga lebih murah dan perbezaan amat ketara,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Program Imunisasi Influenza Kebangsaan untuk Warga Emas di Sarawak di sini hari ini.
Pada 3 Mac, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni dilaporkan berkata penempatan jururawat di luar negeri asal mereka adalah antara sebab ada yang memilih untuk meninggalkan perkhidmatan di Kementerian Kesihatan (KKM).
Lukanisman berkata keadaan itu menjadi cabaran kepada kementerian kerana penempatan jururawat ditentukan berdasarkan keperluan di setiap negeri.
Beliau berkata sejumlah 1,754 jururawat berhenti daripada KKM sejak lima tahun lepas, dengan 27.98 peratus daripada mereka berbuat demikian disebabkan masalah peribadi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial