WILAYAH - SABAH > BERITA

Sabah Seru Syarikat OGSE Rebut Peluang Petronas Dalam Dua Tahun Akan Datang

07/03/2025 10:15 PM

KOTA KINABALU, 7 Mac (Bernama) - Kerajaan Sabah menyeru syarikat-syarikat perkhidmatan minyak dan gas (OGSE) di negeri ini untuk merebut peluang dalam sektor yang disediakan oleh Petronas dalam dua tahun akan datang. 

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata ini berlaku berikutan pertumbuhan yang luar biasa pada tahun lepas yang mana sektor tersebut, menyaksikan kontrak yang diberikan kepada syarikat-syarikat Sabah melonjak dari RM613 juta pada 2021 kepada lebih daripada RM2 bilion.

Masidi, yang juga pengerusi SMJ Energy berkata untuk berjaya, syarikat-syarikat Sabah perlu bangkit dengan memenuhi piawaian ketat Petronas selain membentuk perkongsian strategik yang akan membuka kunci keupayaan dan pengalaman baharu.

“Ini merangkumi pencapaian kenaikan 50 hingga 100 peratus dalam kerja-kerja tempatan yang diberikan kepada syarikat-syarikat Sabah (dalam sektor ini) serta peningkatan 50 hingga 100 peratus dalam bilangan kontrak yang dipegang oleh syarikat-syarikat yang berpengalaman," katanya menerusi satu kenyataan di sini bersempena dengan pendedahan Unjuran Aktiviti Kinabalu (KAO) 2025-2027, jangkaan komprehensif selama tiga tahun memperincikan aktiviti huluan, hiliran, gas dan maritim di Sabah

KAO, yang dilancarkan secara bersama oleh Kerajaan Sabah dan Petronas pada 28 Feb lepas, merupakan pelan strategik yang direka bagi memperkasakan syarikat-syarikat OGSE tempatan dengan pandangan kritikal ke dalam peluang yang bakal dibentangkan oleh Petronas, anak syarikatnya dan kontraktor-kontraktor pengaturan petroleum lain (PAC). Ia akan menyediakan hala tuju yang jelas kepada syarikat OGSE tempatan untuk memanfaatkan peluang baru muncul termasuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam industri.

Naib Presiden Kumpulan Petronas, Rashidah Alias ​​berkata syarikat minyak nasional itu komited sepenuhnya untuk menyokong pertumbuhan dan pembangunan sektor OGSE Sabah.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan