WILAYAH - SELATAN > BERITA

Kerajaan Tegas Tangani Isu Agama, Pastikan Keharmonian Terpelihara - Ahmad Zahid

07/03/2025 11:34 PM

ALOR GAJAH, 7 Mac (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan tegas dalam menangani isu agama bagi memastikan keharmonian di Malaysia terus terpelihara.

"Kita tahu (isu) agama ini adalah sensitif dan kita tidak mahu ada tangan yang menuduh, menuding jari pihak kerajaan tidak mengambil kepedulian mengenai perkara ini, terutama dalam isu mempertahankan agama Islam.

"Kita yakin Kerajaan MADANI berpegang kepada perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan malah parti-parti di dalam kerajaan juga mendukung tentang apa yang termaktub dalam perlembagaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Santunan Kasih Ramadan peringkat Zon Selatan 2025 di Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah di sini malam ini.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid mengingatkan individu, kumpulan atau aliran tertentu supaya tidak menggunakan isu-isu agama untuk merosakkan keharmonian dalam masyarakat majmuk di negara ini.

Terdahulu, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan semua badan penguatkuasaan dan agensi keselamatan mengambil tindakan cepat, berkesan dan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menghasut menggunakan isu perkauman atau agama.

-- BERNAMA

 

'


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan