WILAYAH - UTARA > BERITA

Pesara Tentera Maut, Anak Cedera Parah Dirempuh Kereta Di Padang Besar

08/03/2025 03:24 PM

KANGAR, 8 Mac (Bernama) -- Seorang pesara tentera maut, manakala anak lelakinya cedera parah apabila motosikal yang dinaiki mereka, dirempuh sebuah kereta Honda Civic di Jalan Dato Kayaman, Beseri dekat Padang Besar, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Besar Supt Sarih Salleh berkata dalam kejadian pada 7.45  malam itu, mangsa berusia 49 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala anaknya berusia 16 tahun yang merupakan pembonceng motosikal sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.

“Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun yang bekerja sebagai pencuci kereta dari arah Jalan Dato Kayaman-Jejawi, dipercayai bergerak pada kelajuan tinggi sebelum hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang motosikal dinaiki dua beranak itu.

“Akibat hentaman kuat, motosikal tersebut terbabas dan melanggar tiang lampu jalan manakala kereta terbabas melanggar tembok longkang di arah bertentangan. Pemandu Honda Civic mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di HTF,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sarih berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Muzammil Zamree di talian 04-9490222. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan