WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Perlu Utamakan Perkapalan Hijau Sejajar Usaha Maritim Global Lindungi Alam Sekitar

09/03/2025 11:35 AM

 

Oleh Harizah Hanim Mohamed

 

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Malaysia perlu memanfaatkan dan mengutamakan trend perkapalan hijau untuk kekal relevan walaupun mempunyai kelebihan strategik di sepanjang Selat Melaka, kata perunding pengurusan global.

Rakan Kongsi Arthur D Little, Asia Tenggara Yuma Ito berkata sebagai permulaan, Pelabuhan Klang yang terletak di sepanjang laluan laut penting, boleh dibangunkan sebagai hab bahan api hijau apabila perkapalan global beralih untuk meminimumkan kesan operasi maritim terhadap alam sekitar.

Antara ciri perkapalan hijau adalah teknologi tenaga yang lebih bersih pada kapal, organisasi maritim yang mengutamakan kelestarian, dana hijau dan pembangunan hidrogen sebagai sumber tenaga alternatif.

Langkah ini akan membantu memastikan Malaysia kekal relevan di pasaran maritim antarabangsa dan pada masa sama memenuhi permintaan perkapalan hijau, katanya kepada Bernama.

Arthur D Little adalah firma perundingan pengurusan global melibatkan 51 pejabat di 39 negara.

Beliau berkata Malaysia juga boleh membangunkan dasar yang disasarkan untuk meningkatkan penggunaan bahan api yang lebih bersih dan teknologi hijau berdasarkan keperluan kecekapan tenaga di pelabuhan.

“Tumpukan kepada pengukuhan rangka kerja undang-undang dengan mengambil kira penjajaran dengan piawaian antarabangsa,” katanya.

Sehubungan itu, Ito berkata Malaysia perlu memastikan bahawa peraturan negara ini selaras dengan piawaian antarabangsa seperti Indeks Reka Bentuk Kecekapan Tenaga dan Petunjuk Intensiti Karbon yang ditetapkan oleh Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO).

Rangka kerja ini menawarkan mekanisme pengurangan pelepasan untuk kapal baharu dan sedia ada, katanya.

Langkah ini penting untuk memastikan Malaysia kekal relevan di pasaran global.

Kesatuan Eropah (EU) melaksanakan peraturan FuelEU Maritime, yang mewajibkan kapal berlabuh di pelabuhan EU untuk beralih menggunakan bahan api rendah karbon dan boleh baharu secara berperingkat, dengan keperluan untuk menggunakan "bahan api hijau" sepenuhnya mulai 1 Jan 2025.

Langkah ini bertujuan menyahkarbonkan sektor maritim dengan menggalakkan teknologi tenaga yang lebih bersih pada kapal.

“Pelaksanaan sistem pemantauan yang berkesan dan langkah pematuhan yang wajar boleh membantu memastikan peserta pasaran yakin dapat memenuhi keperluan perkapalan hijau.

“Antara perkara yang boleh dicontohi Malaysia adalah Program Kapal Hijau, yang memberi insentif untuk teknologi cekap tenaga selaras dengan matlamat IMO,” katanya.

Menurut Ito dengan menerima pakai perubahan dasar yang sama, Malaysia boleh menggalakkan organisasi maritim untuk mengutamakan kelestarian.

“Insentif kewangan seperti pengecualian cukai dan dana hijau, seperti yang ditunjukkan oleh Singapura, boleh mendorong pelaburan dalam teknologi lebih bersih dan sistem hijau,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA) Mohamed Safwan Othman berkata perbelanjaan modal bagi perkapalan hijau adalah 30 peratus lebih tinggi daripada perkapalan bercirikan tradisional.

Beliau berkata industri perkapalan Malaysia juga berintensifkan modal manakala kadar pembiayaan bagi perkapalan di Malaysia tidak kompetitif berbanding negara-negara jiran seperti Singapura dan Hong Kong.

“Skala inisiatif hijau di Malaysia secara relatifnya kecil berbanding negara-negara jiran. Dari sudut perbandingan dengan ekuiti persendirian, aspek ini tidak semaju jika dibandingkan dengan negara-negara berkenaan,” katanya.

Ito berkata kedudukan strategik Malaysia di sepanjang Selat Melaka juga memberi peluang besar untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) selain penyelesaian perkapalan hijau yang inovatif.

 

Keseimbangan pertumbuhan maritim, tanggung jawab alam sekitar

Dalam pada itu, Ito berkata lokasi strategik Semenanjung Malaysia di sepanjang antara laluan perkapalan paling sibuk dunia, menawarkan kelebihan besar dari segi perdagangan maritim.

Namun, pada masa sama, beliau mengingatkan ini turut mengundang cabaran alam sekitar dan menekankan kepentingan untuk menseimbangkan pertumbuhan ekonomi dengan pemuliharaan bagi mengekalkan sumber marin Malaysia.

“Ini termasuk pontesi berlakunya tumpahan minyak dan pencemaran marin lain yang boleh menjejaskan ekosistem seperti hutan paya bakau, terumbu karang dan hidupan marin lain

Beliau berkata pesisiran pantai dan sumber marin Malaysia yang luas, tidak hanya bermakna secara ekonomi namun penting dari segi identiti sejarah dan budaya sebagai sebuah negara maritim.

 

Hidrogen Sarawak tepati ekonomi hijau Malaysia

Menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Malaysia menyasarkan untuk mewujudkan hab hidrogen berkarbon rendah pertamanya menjelang 2030 dan menjadi sebahagian daripada strategi lebih besar untuk mencapai kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2050 yang turut meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam pasaran hidrogen hijau serantau dan global.

Strategi hidrogen Sarawak juga bertepatan dengan sasaran negara, khususnya dengan kedudukan Pelabuhan Bintulu sebagai gerbang eksport gas asli cecair (LNG) tunggal negara ini.

Pada Januari lepas, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah mengumumkan projek pelabuhan laut dalam Tanjung Embang bernilai berbilion ringgit di Kuching untuk menjadi gerbang strategik bagi pengimportan dan pengeksportan tenaga.

Abang Johari berkata pelabuhan itu akan menyediakan kemudahan pengisian bahan api hijau, eksport hidrogen dan sumber tenaga lain.

Mengulas pembangunan projek hidrogen Sarawak, Ito berkata bahan berkenaan seiringan dengan matlamat pelepasan sifar bersih Malaysia yang menawarkan penyelesaian neutral karbon yang versatil bagi sektor seperti penjanaan tenaga dan pengangkutan berat.

“Apabila dimajukan daripada sumber boleh baharu seperti tenaga hidroelektrik, ia hanya melengkapi strategi NETR Malaysia,” katanya.

Ito berkata ini membolehkan Malaysia berperanan sebagai penggerak pertama dalam hidrogen dengan Sarawak terus mengukuhkan kepimpinan negara di ASEAN.

“Ini akan meningkatkan lagi potensi Malaysia sebagai pembekal hidrogen yang dominan di rantau ini, sekali gus menyumbang kepada visi ASEAN bagi grid kuasa bersepadu serta mampan.

“Malaysia juga boleh membimbing rantau ini dalam mengguna pakai teknologi hidrogen dan memupuk kerjasama untuk memenuhi matlamat iklim secara kolektif," katanya.

Ito berkata ini akan turut menjadi platform bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan teknologi hidrogen selain membuka peluang eksport untuk Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan