KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Dua anggota polis positif dadah antara 55 individu ditahan dalam satu serbuan yang dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman di sebuah premis pusat hiburan di sekitar Pudu di sini kira-kira 4 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman dalam kenyataan memaklumkan mereka yang ditahan termasuk 19 wanita, terdiri daripada warga tempatan dan asing berumur antara 22 hingga 51 tahun.
“Hasil pemeriksaan lanjut, seorang lelaki yang ditahan itu didapati memiliki dadah jenis ketamin, manakala seorang wanita memiliki dadah jenis erimin 5. Kesemua mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut.
“Hasil ujian air kencing mendapati 25 lelaki dan 17 wanita positif dadah,” katanya.
Beliau berkata kesemua suspek akan direman hari ini di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut, di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti pengedaran atau penagihan dadah, dan menyeru mereka yang mempunyai sebarang pertanyaan serta maklumat boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-2600 2222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial