WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Libat Urus Industri Diadakan Sebelum Pelaksanaan Levi Pelbagai Peringkat - Sim

10/03/2025 01:01 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac -- Kerajaan akan mengadakan sesi libat urus secara menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan dalam industri sebelum pelaksanaan Mekanisme Levi Pelbagai Peringkat (MTLM) tahun ini, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim. 

Beliau berkata sesi libat urus itu bukan sahaja melibatkan pihak industri tetapi juga agensi-agensi kawal selia kerajaan. 

“Portfolio-portfolio industri yang ada mempunyai kaitan dengan dasar Kementerian dan jabatan-jabatan di dalam kerajaan. Jadi sudah tentu kita akan mengadakan perbincangan sesi libat urus dengan semua pemegang taruh yang terlibat. 

“Saya minta sokongan semua pihak termasuk pihak industri kerana inisiatif ini bukan sahaja dapat mengatur semula sektor pasaran buruh kita tetapi juga akan memberikan daya saing yang lebih tinggi terhadap industri dan ekonomi negara,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Tan Sri Datuk Low Kian Chuan yang ingin tahu sama ada MTLM akan dilaksanakan tahun ini dan apakah pihak kementerian telah mengadakan sesi libat urus dengan pihak industri. 

Sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan MTLM akan diperkenalkan tahun ini sebagai sebahagian inisiatif di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). Mekanisme itu bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing kepada bawah 15 peratus daripada jumlah tenaga kerja negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Sim menjelaskan kerajaan mengekalkan keputusan pada 18 Mac 2023 untuk membekukan kelulusan kuota pekerja asing baharu.

“Ia bagi mendukung dasar menetapkan penggajian pekerja asing tidak boleh melebihi 15 peratus daripada guna tenaga negara menjelang 2025.

“Keputusan ini juga selari dengan prinsip untuk memberi keutamaan kepada penggajian pekerja tempatan dalam pasaran buruh sebelum kekosongan ditawarkan kepada pekerja asing,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan