WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Letupan Sungai Golok: PGA Perketat Kawalan Sempadan, Halang Suspek Masuk Malaysia

10/03/2025 09:23 PM

KOTA BHARU, 10 Mac (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) memperketat kawalan di sempadan Malaysia-Thailand bagi menghalang suspek yang dikaitkan dengan insiden letupan bom di Sungai Golok, selatan Thailand daripada melarikan diri ke Malaysia.

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata tindakan itu sebagai langkah berjaga-jaga bagi menghalang sebarang cubaan pencerobohan oleh pihak terlibat yang ingin bersembunyi di negara ini.

Beliau berkata pegawai dan anggota dari Batalion 7 PGA, 9 PGA dan Senoi Praaq terus menjalankan pemantauan dan rondaan di sepanjang sempadan mengikut tugasan masing-masing.

"Kita sudah membuat kawalan dan rondaan berterusan kerana yakin kegiatan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan akan lebih rancak pada Ramadan.

"Dengan kejadian terbaru di Sungai Golok kita akan memperketat lagi kawalan bagi mengesan cubaan pihak tertentu atau penjenayah untuk masuk ke negara ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Nik Ros Azhan berkata zon rondaan PGA meliputi 106 kilometer sepanjang semapdan Malaysia-Thailand dengan sokongan daripada Polis Marin, selain pemantauan di semua laluan tikus termasuk pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok.

“Unit risikan akan sentiasa menyalurkan maklumat dan sentiasa berhubung bagi mendapatkan informasi berkaitan apa jua kegiatan jenayah rentas sempadan,” katanya.

Dua hari lepas, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam insiden tembakan dan letupan bom di Sungai Golok.

Terdahulu, polis Thailand melaporkan bahawa satu letupan berlaku di sebuah pos keselamatan di luar Pejabat Daerah Sungai Golok, diikuti beberapa tembakan dilepaskan oleh sekumpulan penyerang menyebabkan dua anggota keselamatan Thailand terbunuh manakala lapan lagi cedera.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata polis sentiasa memantau perkembangan di wilayah Narathiwat dan kawalan ketat dikuatkuasakan serta-merta sehingga situasi disahkan selamat.

Kementerian Luar pula meminta rakyat Malaysia untuk menangguhkan lawatan tidak penting ke Yala, Narathiwat dan Pattani di Thailand buat masa ini manakala mereka yang melancong atau menetap di wilayah itu dinasihatkan supaya berhati-hati.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan