WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Ruang Perbincangan Berkaitan Peruntukan Bagi Ahli Parlimen Pembangkang Masih Terbuka - PM Anwar

10/03/2025 02:28 PM

CYBERJAYA, 10 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ruang untuk perbincangan antara kerajaan dan pembangkang mengenai isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang sentiasa terbuka.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata sebarang isu berbangkit turut boleh diutarakan menerusi mesyuarat, dan draf memorandum persefahaman (MoU) peruntukan pembangkang juga boleh dipinda jika perlu.

“Saya dahulu hadir lima mesyuarat semasa jadi pembangkang. Mesyuaratlah dahulu, draf boleh dipinda. Ini hendak bising di luar sebab apa? Nak jadi hero jalanan, belajar dulu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Hasil ke-29 di Menara Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di sini hari ini.

Anwar berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, yang mendakwa parti itu mempunyai sebab dan asas tersendiri untuk tidak bersetuju dengan syarat yang ditetapkan kerajaan dalam isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Muhyiddin mendakwa syarat yang ditetapkan dalam MoU berkenaan adalah luar biasa dan ketat seolah-olah terpaksa menyerahkan segala-galanya kepada kerajaan.

Pada 22 Feb lepas, Anwar turut mengulangi nasihatnya kepada Ahli Parlimen pembangkang supaya berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berhubung peruntukan itu.

Anwar berkata perbincangan sedemikian bukanlah perkara baharu, malah beliau sendiri semasa Pakatan Harapan menjadi pembangkang, pernah berbincang dengan Perdana Menteri Kesembilan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sementara itu, Anwar berkata pembangkang sengaja memainkan isu berkenaan untuk menarik perhatian umum, sehingga ada yang mengatakan mereka mengalami beban kewangan dan perlu berhutang, sedangkan pendapatan dan elaun setiap Ahli Parlimen menjangkau sehingga RM40,000 sebulan. 

“Tahu berapa gaji Ahli Parlimen, elaun mesyuarat apa semua? RM30,000 hingga 40,000. Jadi bukanlah tiada wang sama sekali,” katanya. 

Beliau berkata peruntukan untuk setiap kawasan Parlimen, termasuk yang dikuasai oleh pembangkang, tetap disalurkan kepada rakyat tanpa mengira parti politik.

“Contohnya katalah kalau satu kawasan Parlimen, (umpamanya) Tambun katalah dengan pembangkang. Projek jalan, cuma projek itu jalan terus kepada rakyat atau melalui cadangan Ahli Parlimen. Itu bezanya. Jadi untuk menyatakan rakyat terbeban itu tidak benar,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan