WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kerajaan Perkukuh Usaha Pastikan Malaysia Diiktiraf Destinasi Pelaburan, Rakan Dagang Dipercayai

10/03/2025 08:10 PM

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Kerajaan akan melipatgandakan usaha untuk memastikan Malaysia terus diiktiraf sebagai destinasi pelaburan serta rakan dagang yang boleh dipercayai kepada pelabur asing dari serata dunia, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Menerusi jawapan bertulis yang dimuat naik di portal Dewan Negara, kementerian berkata dari sudut peluang, Malaysia berpotensi mendapat manfaat daripada peralihan perdagangan global yang berlaku akibat ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dengan China.

"Syarikat-syarikat dari serata dunia akan mencari lokasi pengeluaran dan sumber produk baharu bagi mengelakkan tarif yang tinggi," kata kementerian.

Ia bagi menjawab soalan Senator Datuk Lim Pay Hen mengenai sejauh mana dasar AS untuk mengenakan tarif 10 peratus ke atas barangan import dari China berpotensi menarik syarikat multinasional untuk memindahkan operasi ke Malaysia dan peluang yang boleh dinikmati negara khususnya dari segi pelaburan langsung asing dan potensi eksport negara melalui dasar yang dibawa oleh Presiden AS ketika ini.

MITI berkata perubahan dasar perdagangan yang dilaksanakan akan memberi impak ke atas Malaysia memandangkan AS merupakan antara rakan dagang Malaysia yang utama.

"Dari segi jangka pendek, Malaysia mungkin boleh mendapat manfaat daripada kenaikan tambahan tarif 10 peratus yang dikenakan ke atas China, dengan pengeluar dan pengeksport Malaysia boleh mengambil peluang untuk meningkatkan jumlah pengeluaran serta menggandakan jumlah eksport ke AS sebagai alternatif kepada barangan China," kata MITI.

Menurut MITI kerajaan juga perlu bersedia menangani implikasi negatif secara tidak langsung terhadap pengenaan tarif yang tinggi terutamanya dalam jangka masa panjang.

"Berkemungkinan besar produk China tidak dapat menembusi pasaran AS disebabkan harga yang tinggi. Maka, China akan meneroka pasaran baharu atau melimpahkan lebih banyak produk China di pasaran sedia ada yang lain.

"Perkara ini akan menjejaskan pasaran eksport Malaysia di negara-negara ketiga serta memberi persaingan kepada pengeluar domestik memandangkan kebanyakan produk yang dihasilkan China adalah amat kompetitif dari segi harga disebabkan kos pengeluaran yang lebih rendah," kata kementerian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan