WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Transaksi 'Beli Dulu, Bayar Kemudian' Naik Ketara Kepada RM7.1 Bilion - Amir Hamzah

11/03/2025 12:29 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Jumlah transaksi skim pengguna 'beli sekarang, bayar kemudian' (BNPL) meningkat ketara pada separuh kedua 2024 kepada RM7.1 bilion berbanding RM4.9 bilion dalam separuh pertama tahun lepas.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata setakat Disember 2024, sebanyak 5.1 juta pengguna BNPL yang aktif, majoritinya golongan berusia 21-45 tahun dengan pendapatan kurang RM5,000 sebulan manakala 12 syarikat menawarkan perkhidmatan itu pada masa ini.

Beliau berkata kadar penggunaan BNPL di Malaysia yang kian meningkat juga menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keberhutangan isi rumah biarpun peningkatan transaksinya masih terkawal.

"Setakat Disember 2024, pinjaman BNPL berjumlah RM2.8 bilion yang hanya merangkumi 0.2 peratus daripada keseluruhan keberhutangan isi rumah di negara ini.

"Kadar jumlah BNPL yang tertunggak juga terkawal pada RM82.6 juta iaitu 2.9 peratus daripada jumlah keseluruhan nilai kredit BNPL," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Musoddak Ahmad mengenai usaha mengawal aktiviti agensi pemberi kredit seperti perkhidmatan BNPL.

Amir Hamzah menegaskan Kementerian Kewangan telah membuat bacaan kali pertama Rang Undang-undang (RUU) Kredit Pengguna di Dewan Rakyat pada 4 Mac, 2024, yang menjadi antara usaha kerajaan meningkatkan perlindungan ke atas pengguna kredit di Malaysia.

Beliau menjelaskan RUU Kredit Pengguna itu menyediakan rangka kerja pengawalseliaan yang menyeluruh dan bersepadu ke atas industri pemberi kredit bukan bank.

"Di bawah Akta Kredit Pengguna kelak, penyedia BNPL mesti mematuhi piawaian etika dan standard pelakuan seperti ditetapkan, termasuk ketelusan dalam yuran dan caj, terma kredit secara adil dan memberi peringatan kerap kepada peminjam mengenai pembayaran yang perlu diselesaikan.

“Sekiranya RUU ini diluluskan, ia akan ditadbir oleh satu badan berkuasa berwibawa baharu iaitu Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) di bawah Kementerian Kewangan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan