WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Peningkatan Kadar Pemberian Mengikut Bilangan Orang Cermin Komitmen Perkukuh Pembangunan Negeri

11/03/2025 06:02 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Peningkatan Kadar Pemberian Mengikut Bilangan Orang (Capitation Grant) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lepas mencerminkan komitmen kerajaan MADANI dalam memperkukuh pembangunan negeri, dengan harapan dana itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk kesejahteraan rakyat.

Capitation Grant merujuk kepada geran yang diberikan kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri setiap tahun, berdasarkan perkapita penduduk untuk tujuan pembangunan seperti penyelenggaraan jalan raya negeri.

Di PULAU PINANG, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata negeri itu akan menerima kenaikan daripada RM25 juta kepada RM30 juta, yang akan digunakan untuk melaksanakan projek serta program kebajikan untuk rakyat.

Beliau berkata berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, kadar tersebut diberikan berdasarkan populasi setiap negeri mengikut formula iaitu 100,000 penduduk pertama akan menerima RM102 berbanding RM72 sebelum ini.

“Terdapat peningkatan untuk negeri pada tahun-tahun akan datang. Ini membantu negeri melaksanakan program, aktiviti, atau projek,” katanya.

Minggu lepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kadar geran itu dinaikkan 25 peratus atau RM109 juta kepada RM548 juta berkuat kuasa mulai 2026 dengan menekankan ini adalah julung kali ia dikaji semula sejak tahun 2002.

Di SARAWAK, Felo Akademi Sains Malaysia Prof Datuk Dr Jayum Jawan berkata keputusan menyemak semula kadar Capitation Grant adalah wajar kerana sudah lama tidak dilakukan dan asas pemberiannya juga sudah banyak berubah, terutama dari segi jumlah penduduk di sesuatu negeri.

“Pada pandangan saya saya kenaikan kadar tersebut sepatutnya sudah lama dilakukan, oleh itu saya mencadangkan agar satu undang-undang diperuntukkan supaya geran ini wajib dikaji semula dalam tempoh berkala agar kadar pemberian itu selari dengan perkembangan dan keperluan semasa pembangunan,” katanya kepada Bernama.

Di KEDAH, rata-rata penduduk yang ditemui Bernama menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana menaikkan kadar geran itu, yang menurut mereka membuktikan keprihatinan kerajaan MADANI kepada kerajaan negeri termasuk Kedah.

Nor Nadhirah Razali, 39, dari Taman Wira Mergong yang bekerja sendiri berkata kenaikan kadar itu sudah pastinya boleh membantu kerajaan negeri menyempurnakan perkhidmatan kepada rakyat di Kedah.

"Macam yang diketahui, Kedah antara negeri yang termiskin dan itu menyebabkan kemajuan dan perkhidmatan sedikit ketinggalan di belakang berbanding dengan beberapa negeri yang lain...dengan peningkatan kadar ini, ia dapat digunakan untuk membantu perbelanjaan mengurus segala pembayaran yang diperlukan," katanya.

Bagi penjawat awam Muhammad Shauki Shukri, 42, dari Taman Gunung, tindakan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan dalam menyemak semula kadar pemberian geran itu menunjukkan bahawa kerajaan MADANI mengambil berat dan mahu memastikan hubungan dengan semua kerajaan negeri dalam keadaan baik.

"Walaupun kerajaan negeri dan kerajaan MADANI berlainan fahaman politik, ini tidak menjadikan ia sebagai satu halangan untuk memastikan kebaikan dan kesejahteraan rakyat dijaga dan dipelihara. Ini dapat membantu kerajaan negeri meningkatkan perkhidmatan dalam pelbagai aspek dengan peruntukan yang diperolehi," katanya.

Di PERAK, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Batu 8, Jalan Tanjung Tualang, Mohmad Fazar Fadzillah berkata peningkatan Capitation Grant itu membuktikan keprihatinan kerajaan dalam menguruskan pembangunan.

Bagaimanapun beliau mengingatkan bahawa impak positif daripada peningkatan kadar itu bergantung penuh kepada cara atau kaedah kerajaan negeri menguruskan dana berkenaan, sama ada benar digunakan untuk kesejahteraan rakyat atau sekadar perbelanjaan pentadbiran. 

“Kalau betul digunakan untuk pembangunan, saya pasti rakyat akan mendapat manfaat secara langsung dalam bentuk perkhidmatan yang lebih baik dan berkesan,” katanya.

Sementara itu di KOTA BHARU, pengumuman kenaikan Capitation Grant kepada kerajaan negeri Kelantan sebanyak 25 peratus kepada RM548 juta disifatkan sebagai langkah yang wajar.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata kerajaan negeri menghargai inisiatif yang diambil oleh kerajaan persekutuan.

“Kerajaan Kelantan menyambut baik kenaikan 25 peratus geran per kapita ini, yang tidak dikaji semula sejak 2002.

“Sepatutnya kadar ini dikaji sekurang-kurangnya setiap lima tahun sekali, sebagaimana cadangan pemberian atau peruntukan geran khas kepada Sabah dan Sarawak mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau menambah bahawa langkah itu penting bagi memastikan jumlah yang diperuntukkan lebih munasabah mengikut keadaan semasa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan