WILAYAH - TENGAH > BERITA

Karnival Ramadan IWK Eco Park Bantu Peniaga Kecil, Komuniti

11/03/2025 08:50 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Buat julung kali syarikat pembetungan nasional Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd menganjurkan Karnival Ramadan di IWK Eco Park, Pantai Dalam yang membuka peluang perniagaan kepada peniaga kecil di sekitar kawasan itu. 

Ketua Pegawai Eksekutif IWK M. Narendran berkata langkah itu selaras dengan usaha kerajaan dalam memperkasakan keusahawanan komuniti untuk mengukuhkan lantai ekonomi rakyat sebagaimana hala tuju dalam dasar ekonomi MADANI.

“Program ini sebahagian tanggungjawab sosial korporat (CSR) IWK, kita memberi peluang kepada lebih 30 peniaga yang kebanyakannya penduduk di sekitar IWK Eco Park berniaga semasa Ramadan. 

“Penerimaan agak baik kerana IWK Eco Park dikelilingi banyak perumahan, termasuk Program Perumahan Rakyat (PPR) jadi ramai pengunjung yang datang, sekali gus memudahkan penduduk untuk mendapatkan juadah berbuka selain menyediakan satu platform perniagaan yang teratur dan strategik bagi peniaga kecil dengan kadar berpatutan,” katanya kepada Bernama.

Sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif yang dijalankan, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof turut meluangkan masa melawat peniaga dan membeli juadah berbuka puasa di karnival itu.

Lebih istimewa, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air bersama Narendran serta warga IWK turut mengagihkan 500 pek makanan kepada penduduk setempat sebagai hidangan berbuka puasa.

Narendran berharap aktiviti yang dijalankan hari ini dapat memberi manfaat kepada pihak peniaga kecil dan penduduk setempat serta mengukuhkan lagi hubungan antara IWK bersama komuniti.

“Penganjuran karnival di tempat letak kereta berbumbung yang luas, dapat memberikan keselesaan kepada peniaga selain pengunjung tidak perlu bimbang tentang tempat letak kenderaan kerana kemudahan parkir yang mencukupi disediakan. 

“Karnival Ramadan IWK Eco Park berlangsung sejak 2 hingga 29 Mac dan orang ramai dijemput ke karnival itu sambil menikmati kehijauan taman di sini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan