WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SAMENTA Saran Penubuhan Ombudsman Pematuhan Untuk Atasi Kelewatan Perniagaan

11/03/2025 09:32 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) menyarankan agar kerajaan menubuhkan Ombudsman Pematuhan sebagai mekanisme khusus untuk menangani aduan perniagaan yang  berdepan kelewatan pentadbiran atau ketidakcekapan perkhidmatan bagi memperkukuh kesan Rang Undang-Undang (RUU) Iltizam 2025.

Presiden SAMENTA Datuk William Ng turut mencadangkan kewujudkan platform digital sehenti untuk semua kelulusan berkaitan perniagaan bagi memastikan keseragaman serta menghapuskan kelewatan tidak perlu.

"Selain itu, perlu ada pasukan petugas tetap antara perniagaan dan kerajaan untuk memantau serta menilai keberkesanan peratusan secara berkala. 

"Lebih penting, penilaian perkhidmatan harus diperluaskan kepada pihak berkuasa tempatan bagi memastikan majlis perbandaran turut tertakluk kepada standard kecekapan yang sama," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Ng berkata kelulusan RUU Iltizam atau Rang Undang-Undang Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 menandakan pencapaian penting dalam mengurangkan birokrasi, meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan dan memperkukuh kemudahan menjalankan perniagaan di Malaysia. 

Beliau berkata dengan mewajibkan pengurangan beban peraturan, memperkenalkan sistem penilaian prestasi perkhidmatan dan menggalakkan ketelusan dalam sektor awam, treformasi ini adalah tepat pada masanya serta penting untuk pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Malaysia.

"Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) merupakan tulang belakang ekonomi Malaysia, menyumbang hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menggaji lebih tujuh juta rakyat Malaysia.

"Namun, perniagaan kecil sering menghadapi ketidakcekapan dalam proses kerajaan, kelulusan yang perlahan dan peraturan tidak konsisten. RUU ini adalah langkah besar ke hadapan dalam mengurangkan kerenah birokrasi dan meningkatkan kualiti perkhidmatan," katanya. 

RUU Iltizam yang bertujuan meningkatkan kualiti, kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan kerajaan diluluskan di Dewan Rakyat pada 6 Mac. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa ketika membentangkannya untuk bacaan kali kedua berkata RUU itu dapat menyelesaikan masalah birokrasi serta menghapuskan peraturan, garis panduan dan arahan pentadbiran yang tidak perlu atau lapuk, bagi meningkatkan kecekapan tadbir urus kerajaan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan