WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SPRM Tahan 16 Individu Disyaki Terlibat Rasuah Membabitkan Pendaftaran Kelahiran

12/03/2025 12:02 PM

PUTRAJAYA, 12 Mac (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 16 individu kerana disyaki terlibat rasuah membabitkan pendaftaran lewat kelahiran bertaraf bukan warganegara kepada warganegara dan pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata kesemua suspek berusia 20 hingga 70-an, ditahan menerusi Op Outlander dan Op Birth, bermula 11 pagi semalam, membabitkan serbuan di beberapa premis termasuk klinik dan firma guaman sekitar Lembah Klang dan Johor.

Bagi Op Outlander, suspek utama merupakan penjawat awam disyaki melakukan perbuatan tersebut dengan membantu permohonan sebagai pendaftaran lewat kelahiran, iaitu untuk yang melebihi tempoh 60 hari selepas kelahiran.

“Dipercayai kegiatan ini turut didalangi oleh seorang pengamal perubatan bergelar Datuk Seri yang memiliki beberapa buah klinik dan pusat bersalin, berperanan mengeluarkan dokumen pengesahan kelahiran palsu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menerusi Op Birth beliau berkata tiga suspek utama disyaki bertindak sebagai ejen, melakukan perbuatan tersebut dengan menawar dan memberikan rasuah kira-kira RM18,000 kepada seorang penjawat awam.

“Ia bagi membantu permohonan pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan seperti surat pengesahan kelahiran hospital didapati palsu.

“Sementara itu, enam orang awam disyaki menggunakan khidmat ejen berkenaan turut ditahan kerana menjadi pemohon yang mengemukakan permohonan daftar kelahiran. Turut ditahan seorang pengamal undang-undang disyaki sebagai orang tengah di antara ejen dan pemohon,” katanya.

Ahmad Khusairi berkata kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat SPRM dan SPRM Selangor bagi membantu siasatan dan akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor bagi tujuan permohonan reman hari ini.

“Bagi dua suspek termasuk bergelar Datuk Seri yang mempunyai masalah kesihatan telah dilepaskan dengan jaminan SPRM apabila selesai dirakam percakapan,” katanya.

Beliau berkata serbuan yang dilakukan itu berpandukan maklumat hasil risikan kira-kira setahun serta kerjasama dan perkongsian maklumat antara SPRM dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Penangkapan ini mencerminkan komitmen teguh SPRM dalam memastikan usaha memerangi rasuah khususnya yang melibatkan perkhidmatan awam demi memastikan aspek keselamatan negara terjamin,” katanya.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 17(a) dan 17(b) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan