WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Industri Sambut Baik Pindaan Akta KWSP, Jamin Kemampanan Perniagaan Dan Pengekalan Bakat

12/03/2025 12:50 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Pemimpin industri menyambut baik kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (Pindaan) 2025 yang disifatkan sebagai pendekatan seimbang dalam mengukuhkan keselamatan sosial sambil memastikan kemampanan perniagaan.

Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) memuji langkah itu, menekankan ia memberikan kelegaan kewangan kepada perniagaan dan meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia di bawah Kerangka Ekonomi MADANI.

Presiden MEF Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata dasar ini memberikan kelegaan kewangan yang signifikan kepada majikan, memastikan kelangsungan perniagaan sambil menyokong keselamatan kewangan jangka panjang kepada pekerja asing.

"MEF melihat caruman KWSP untuk pekerja bukan warganegara sebagai pendekatan seimbang untuk meningkatkan ketahanan industri, produktiviti pekerja dan pertumbuhan ekonomi dari semasa ke semasa.

"Adalah penting untuk mengawal kenaikan kos bagi memastikan kelangsungan perniagaan dan meningkatkan daya saing Malaysia selaras  matlamat untuk menjadi 12 negara teratas paling berdaya saing seperti disasarkan di bawah Kerangka Ekonomi MADANI," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Syed Hussain turut menekankan adalah mustahak untuk diadakan libat urus berterusan dengan pihak berkepentingan sebelum kadar caruman KWSP diubah pada masa hadapan, bagi memastikan kepentingan majikan dan pekerja dilindungi.

Beliau berkata MEF kekal komited untuk bekerjasama dengan kerajaan dan agensi berkaitan bagi menyokong inisiatif peningkatan kemahiran dan latihan semula, terutamanya untuk pekerja tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing.

MEF percaya mekanisme simpanan berstruktur untuk bukan warganegara akan membawa kepada kadar pengekalan pekerja yang lebih baik, kestabilan tenaga kerja dan peningkatan produktiviti dalam industri utama seperti pembuatan, perladangan, pembinaan dan perkhidmatan.

"Perniagaan yang berdaya tahan dan tenaga kerja lebih produktif akan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) lebih tinggi, seterusnya membawa kepada peningkatan pelaburan, baik pelaburan tempatan mahupun pelaburan langsung asing (FDI) serta mengukuhkan daya saing di pasaran global," katanya.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Tan Sri Soh Thian Lai berkata dalam jangka panjang, akses perlindungan sosial yang sama untuk semua pekerja dapat menyokong ketahanan industri dengan meningkatkan pengekalan pekerja, mengurangkan kadar pusing ganti dan menggalakkan penglibatan pekerja.

Beliau berkata simpanan KWSP di bawah skim ini memberi insentif kepada pekerja asing untuk pulang ke negara asal selepas kontrak mereka berakhir dan bukannya terus bekerja sama ada secara sah atau tidak sah di negara ini.

"Kerajaan juga harus menetapkan syarat ketat bahawa pekerja asing mesti berada dalam status sah pada masa pengeluaran.

"Ini akan menghalang pekerja tanpa izin daripada mengakses dana dan mengukuhkan lagi objektif untuk memastikan hanya mereka yang mematuhi undang-undang imigresen dan pekerjaan mendapat manfaat daripada skim itu," katanya.

Soh menekankan bahawa impak terhadap daya saing perniagaan dan struktur kos mesti dipantau dengan teliti bagi memastikan Malaysia terus kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik.

Pada 6 Mac, Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan KWSP 2025 diluluskan selepas dibahaskan oleh lapan anggota Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.

Ia melibatkan pindaan kepada 11 fasal bagi mengadakan peruntukan berhubung tanggungan untuk membayar caruman dan kadar caruman yang kena dibayar ke atas pekerja bukan warganegara Malaysia.

Kerajaan pada 3 Feb lepas mengumumkan kadar caruman mandatori KWSP untuk pekerja asing, masing-masing dua peratus buat pekerja dan majikan, lebih rendah berbanding kadar caruman mandatori yang ditetapkan untuk pekerja warganegara Malaysia dan pemastautin tetap iaitu 11 peratus bagi syer pekerja dan 12 atau 13 peratus bagi syer majikan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan