KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan dalam julat 4.5-5.0 peratus yang memaparkan sentimen positif ekonomi secara keseluruhan, kata Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank).
Pemangku Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Datuk Mohammad Hardee Ibrahim berkata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia meningkat kepada 5.1 peratus pada 2024 yang seiringan dengan unjuran bank itu pada 4.3-5.3 peratus.
“Pertumbuhan itu didorong oleh perbelanjaan isi rumah yang kukuh dan disokong oleh keadaan pasaran tenaga kerja yang stabil, pelaburan teguh serta pemulihan perdagangan luar.
“Berdasarkan momentum positif ini, kami menjangkakan KDNK Malaysia bagi 2025 akan tumbuh 4.5-5.0 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebagai salah satu institusi kewangan pembangunan (DFI) terkemuka, bank itu kekal komited untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagai nadi utama ekonomi Malaysia, malah turut menerbitkan Laporan Tinjauan Ekonomi 2025 yang memberi pandangan untuk membantu PKS mengharungi tahun akan datang.
Mengulas prospek Malaysia, Ketua Ahli Ekonomi SME Bank Lynette Lee Li Qing berkata pertumbuhan KDNK Malaysia bagi 2025 akan terus didorong oleh perkembangan dalam sektor perkhidmatan yang kekal sebagai pemangkin dengan sokongan berterusan daripada kedua-dua subsektor berkaitan pengguna dan perniagaan.
“Melangkah ke hadapan, kami kekal optimistik dengan unjuran perkembangan prestasi keseluruhan Malaysia pada 2025 yang berlandaskan faktor luaran seperti pertumbuhan KDNK yang kurang pesat dalam kalangan rakan perdagangan utama, potensi tempoh perang perdagangan Amerika Syarikat – China yang berlanjutan dan peningkatan dasar perlindungan global, ketidakstabilan konflik geopolitik serta pengeluaran dan harga komoditi yang lebih rendah daripada anggaran asal,” katanya.
SME Bank berkata unjuran pertumbuhan itu adalah selaras dengan unjuran terkini oleh tinjauan ekonomi Bank Dunia pada Januari 2025 yang menjangkakan pertumbuhan stabil pada 2.7 peratus bagi 2025 dan 2026.
Ini turut didorong oleh peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 yang dijangka meningkatkan segmen pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Selain itu, SME Bank menjangkakan pemberian tunai lebih tinggi kepada isi rumah berpendapatan rendah, semakan kenaikan gaji penjawat awam serta kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 daripada RM1,500, dapat meningkatkan perbelanjaan pengguna.
Sasaran ini juga disokong oleh inflasi yang semakin stabil, harga komoditi yang lebih rendah serta penurunan harga komoditi yang lebih rendah dan pelonggaran monetari merentasi ekonomi maju serta pasaran yang pesat membangun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial