WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Tindakan Tegas Terhadap Sesiapa Saja Cuba Timbul Perpecahan Dalam Negara - PM Anwar

12/03/2025 09:17 PM

PUTRAJAYA, 12 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak sesekali cuba mencetuskan perpecahan di negara ini.

Beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang menimbulkan kebencian tidak kira dari segi perkauman, agama mahupun menghina orang miskin.

"Percayalah, kita akan ambil tindakan sekeras mungkin untuk menghentikan gejala yang membawa malapetaka dan kecelakaan kepada negara kita. 

"Mudah-mudahan kita buat pertimbangan baik dan tahu antara baik dan buruk, mahrum dan munkar, hak dan batil. Terutama sekarang di Malaysia ini, kita mesti tumpu dalam soal ini dan jangan izinkan negara ini dicemari oleh pelampau perkauman dan agama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri bersama Syarikat Korporat dan Syarikat Berkaitan Kerajaan di sini hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri mengajak seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama menjadi ejen perpaduan dan membantu usaha kerajaan MADANI menyatukan rakyat daripada pelbagai latar belakang, agama dan bangsa.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah melalui Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan di Facebook berkata tindakan itu juga dapat menjamin perpaduan antara kaum di negara ini kekal mekar dan harmoni.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan