Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 9 Jun (Bernama) -- Parti Solidariti Indonesia (PSI) menyatakan kesediaannya untuk menerima bekas Presiden Indonesia Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi, sekiranya beliau memilih untuk menyertai parti itu.
Timbalan Pengerusi PSI Andy Budiman dalam satu kenyataan berkata PSI menganggap dirinya sebagai “rumah politik” buat Jokowi dan bersedia menyambut kehadiran Jokowi dengan tangan terbuka.
“PSI ditubuhkan untuk menyokong wawasan dan misi Jokowi dalam pembangunan Indonesia,” katanya, sambil menegaskan yang semua ahli parti masih komited memperjuangkan matlamat itu.
Kenyataan itu dikeluarkan beberapa hari selepas Jokowi memberi isyarat yang beliau lebih cenderung untuk menyertai PSI berbanding menerima tawaran menjadi pengerusi Parti Persatuan Pembangunan (PPP) yang berasaskan Islam.
Jumaat lalu, Jokowi mengumumkan dari kediamannya di Surakarta yang beliau tidak akan menyertai PPP, dengan alasan ramai calon lain yang lebih layak dan mempunyai keupayaan serta lebih cekap untuk memimpin parti itu.
Hubungan Jokowi dengan PSI bukan sesuatu yang mengejutkan, memandangkan anak bongsunya, Kaesang Pangarep dilantik sebagai Pengerusi PSI pada September 2023, sekali gus meningkatkan profil parti itu dalam kalangan pengundi muda bandar.
Walaupun PSI gagal melepasi ambang empat peratus undi parlimen dalam Pilihan Raya Umum 2024, parti itu tetap memenangi kerusi di beberapa dewan perundangan wilayah dan kekal sebagai pemain penting dalam landskap politik Indonesia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial