KOTA BHARU, 23 Jun (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya mematahkan cubaan menyeludup pelbagai tanaman membabitkan nilai rampasan RM400,000 susulan penahanan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di hadapan Klinik Kesihatan Gual Tinggi, Pasir Mas semalam.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata rampasan itu dilakukan kira-kira 11 pagi ketika sepasukan anggota Batalion 9 PGA sedang melaksanakan tugas rondaan di bawah Op Taring Wawasan Kelantan.
Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas lori terbabit membawa kepada penemuan sebanyak 5,000 anak pokok ceri Barbados dan 5,000 anak pokok bunga cengkih yang disyaki mengandungi serangga perosak serta penyakit berbahaya.
“Pemandu lori iaitu seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun dipercayai dalam perjalanan untuk menghantar tanaman itu ke sebuah nurseri tempatan.
“Kesemua barangan rampasan diserahkan kepada Jabatan Pertanian Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nik Ros Azhan berkata PGA akan terus memperketat kawalan sempadan bagi membanteras sebarang cubaan penyeludupan yang boleh menjejaskan keselamatan makanan dan sektor pertanian negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial