WILAYAH - TIMUR > BERITA

Pemandu Bot Terbalik Di Pulau Perhentian Direman

30/06/2025 01:39 PM

BANDAR PERMAISURI, 30 Jun (Bernama) -- Seorang pemandu bot yang terbabit dalam tragedi mengorbankan tiga penumpang di Pulau Perhentian Sabtu lepas, direman selama tiga hari bermula pada hari ini.

Perintah reman hingga Rabu terhadap lelaki berumur 22 tahun itu dikeluarkan Majistret Nurliyana Md Zukri di Mahkamah Majistret Setiu, di sini hari ini.

Penahanan itu bagi membolehkan siasatan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dijalankan berikutan lelaki berkenaan didapati positif dadah.

Dalam kejadian pada 10.30 malam itu, S. Arumugam, 40, dan anaknya A. Sarrvihka, 3, serta seorang lagi saudara perempuan, V. Vennpani, 10, maut manakala dua mangsa cedera termasuk seorang kritikal, selain 10 lagi terselamat. 

Kesemua penumpang bot berusia tiga hingga 40 tahun yang mempunyai pertalian keluarga itu dalam perjalanan pulang dari Pulau Perhentian Kecil ke Pulau Perhentian Besar selepas selesai makan malam, namun ombak besar tiba-tiba datang menyebabkan bot terbalik.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Azamuddin Ahmad@Abu semalam berkata pemandu bot terbabit disahkan positif dadah selain turut mempunyai lima rekod lampau berkaitan bahan terlarang itu.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan