KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Wartawan sukan berpengalaman negara, Abu Bakar Atan, menerima pengiktirafan di peringkat Asia apabila dianugerahkan gelaran 'Legend of AIPS Asia' sempena Kongres ke-26 Persatuan Penulis-Penulis Sukan Asia (AIPS Asia) yang berlangsung di Hong Kong, hari ini.
Anugerah berkenaan memasuki edisi ketiga sejak diperkenal pada 2023 sebagai mengiktiraf sumbangan wartawan sukan di seluruh Asia yang telah berkhidmat berpuluh-puluh tahun atau sering digelar “orang lama” dalam sukan.
Menabur bakti selama lebih 30 tahun dalam arena sukan negara, Abu Bakar menyifatkan anugerah itu bukan hanya untuk diri beliau tetapi juga pengiktirafan kepada seluruh wartawan sukan Malaysia.
"Alhamdulillah, syukur kepada hadrat Allah kerana dengan izin-Nya saya terpilih untuk menerima anugerah ini. Sudah tentu anugerah ini bukan hanya untuk diri saya tetapi ia satu kemenangan buat seluruh warga kewartawanan sukan di Malaysia.
"Saya harap anugerah ini juga mampu menjadi pemangkin semangat khususnya kepada generasi muda mahupun mereka yang sedia ada dalam bidang kewartawanan sukan untuk terus meningkatkan penyampaian berita berkualiti, beretika, isi kandungan bermanfaat dan menarik," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bekas Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) itu menjadi penerima kedua anugerah berkenaan dari Malaysia, selepas Ahmad Khawari Mohd Isa yang turut menerima pengiktirafan sama pada tahun lepas.
Abu Bakar memulakan karier kewartawanan sukan pada 1984 sebagai wartawan sukan di Berita Harian dan seterusnya menjadi kumpulan pertama di Harian Metro dengan bertugas selama tiga tahun.
Beliau mengembangkan kariernya di TV3 dan membina kerjaya sebagai pembaca berita sukan sejak 1997 hingga 2021.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial