WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JI "Kini Sejarah" Ketika Indonesia Teruskan Usaha Penyahradikalan – Ketua Antikeganasan

01/07/2025 06:38 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 1 Julai (Bernama) -- Badan antikeganasan Indonesia mengisytiharkan bahawa Jemaah Islamiyah (JI), rangkaian pelampau yang dikaitkan dengan al-Qaeda, kini “hanya tinggal sejarah” sempena setahun selepas pembubaran rasmi kumpulan itu.

“JI adalah sebahagian daripada masa lampau dan menjadi tanggungjawab negara untuk membimbing bekas ahlinya,” kata Ketua Badan Nasional Antikeganasan (BNPT) Ketua Pesuruhjaya Eddy Hartono pada satu acara peringatan di Sentul, Jawa Barat, pada Isnin (30 Jun).

Eddy berkata kerajaan kini memberi tumpuan kepada usaha penyahradikalan pasca penjara yang mempromosi kesederhanaan beragama, identiti kebangsaan dan keusahawanan melalui kerjasama antara agensi.

“Kami akan terus menilai program kami dengan berkoordinasi bersama kementerian dan agensi,

Segala usaha bersama ini telah membuahkan hasil yang baik dan kami akan terus bekerjasama,” katanya.

Acara bertemakan “Saat untuk Merenung dan Menilai"  itu dianjurkan oleh unit elit antikeganasan polis, Densus 88, yang telah mengetuai operasi antikeganasan Indonesia sejak awal 2000-an, menurut kenyataan BNPT.

Ditubuhkan pada 1990-an dan bertanggungjawab dalam serangan maut termasuk pengeboman Bali 2002, JI secara rasmi mengumumkan pembubarannya pada satu acara di Bogor, Jawa Barat, pada Jun tahun lepas.

Pengarah Penguatkuasaan Densus 88 Brig Jen Muhammad Tedjo Kusumo menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan BNPT bagi membantu bekas ahli JI kembali menjadi sebahagian daripada Negara Kesatuan Republik Indonesia (NKRI).

Bekas Ketua JI Para Wijayanto yang pernah mengetuai majlis kepimpinan kumpulan itu, menyeru bekas ahli kumpulan untuk kekal setia kepada negara.

“Saya ingatkan semua tentang komitmen kepada keterbukaan dan kepercayaan, serta komitmen dan konsisten. Ini penting untuk memastikan proses integrasi semula berkekalan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan