WILAYAH - SABAH > BERITA

Sabah Sasar Peningkatan 100 Peratus Kontrak Untuk Syarikat OGSE Tahun Ini - Hajiji

03/07/2025 04:36 PM

KOTA KINABALU, 3 Julai (Bernama) -- Kerajaan Sabah dengan kerjasama Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan rakan industri menyasarkan peningkatan sebanyak 100 peratus kontrak tempatan dalam sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) untuk syarikat-syarikat dari Sabah tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata pengisian jawatan dalam sektor itu akan memberi keutamaan kepada rakyat Sabah, dengan sasaran 100 peratus bagi jawatan bukan teknikal, dan sekurang-kurangnya 80 peratus bagi jawatan teknikal.

“Sasaran ini mencerminkan komitmen teguh kita untuk memperkukuh penyertaan tempatan dan membina ekosistem tenaga yang berdaya tahan serta berasaskan bakat tempatan,” katanya ketika merasmikan Persidangan dan Pameran Minyak, Gas dan Tenaga Sabah (SOGCE) ke-12 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri Datuk Phoong Jin Zhe.

Hajiji berkata pada 2021, jumlah kontrak yang diberikan kepada syarikat dari Sabah bagi kerja-kerja perkhidmatan minyak dan gas tempatan berjumlah RM341 juta dan menjelang akhir tahun lepas, ia melonjak kepada lebih RM2 bilion bagi kerja-kerja yang dianugerahkan di dalam serta luar Sabah.

Industri minyak dan gas Sabah,  merupakan tunjang penting dalam pertumbuhan ekonomi negeri ini dengan menyumbang hampir 40 peratus pengeluaran minyak dan kira-kira 20 peratus hasil gas negara, katanya.

“Namun, kami percaya peranan kita perlu melangkaui sekadar pengeluaran. Kita berhasrat untuk menjadikan Sabah sebagai pusat kecemerlangan bagi inovasi OGSE dan amalan tenaga mampan serta sebagai hab, yang menaggabungkan pelaburan, bakat dan teknologi untuk mencipta nilai jangka panjang,” kata beliau.

Hajiji turut memuji usaha Majlis Perkhidmatan Minyak dan Gas Sabah (SOGSC) dan Persatuan Kontraktor Petroleum Bumiputera Sabah (PKPBS) dalam mempromosikan penyertaan Sabah dalam sektor OGSE.

Beliau turut menyeru semua pihak untuk menyokong rancangan SOGSC dan PKPBS menganjurkan persidangan OGSE pada tahun hadapan.

“Visi kami adalah untuk membina rangkaian peluang OGSE yang melangkaui kontrak jangka pendek. Kami ingin menggalakkan pemindahan ilmu, pertukaran teknologi dan usaha sama yang mampu melonjakkan pemain tempatan ke tahap serantau.

"Kami sedang meletakkan asas bukan sahaja untuk kemakmuran semasa, tetapi juga untuk ekosistem OGSE yang berdaya tahan, inovatif dan mampan untuk generasi akan datang," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan