WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Menteri Luar Indonesia Hadir Mesyuarat ASEAN Di Kuala Lumpur

04/07/2025 07:57 PM

JAKARTA, 4 Julai (Bernama) -- Menteri Luar Indonesia Sugiono akan menyertai rakan sejawat ASEAN beliau di Kuala Lumpur, Malaysia minggu depan bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat utama berkaitan dari 8 hingga 11 Julai.

Ketua Pengarah Kerjasama ASEAN di Kementerian Luar Indonesia Siddharto Suryodhipuro berkata Sugiono akan mengambil bahagian dalam pelbagai sesi, termasuk dialog serantau dan pertemuan dua hala dengan rakan kongsi utama ASEAN.

“AMM adalah peluang untuk Asia Tenggara membincangkan perkembangan serantau dan global. Memandangkan dinamik semasa dalam politik antarabangsa, para menteri akan membincangkan pelbagai isu, termasuk yang menjejaskan Asia Tenggara serta situasi global yang memberi kesan kepada rantau ini,” katanya pada sidang media di sini pada Khamis.

Siddharto berkata Sugiono juga dijadual bersama rakan sejawatnya dari Australia mempengerusikan bersama mesyuarat ASEAN-Australia memandangkan Indonesia kini berperanan sebagai penyelaras ASEAN bagi hubungan dengan Australia.

Malaysia kini memegang jawatan Pengerusi ASEAN bagi 2025, menandakan kali kelima negara itu menerajui blok serantau berkenaan selepas 1977, 1997, 2005 dan 2015.

ASEAN kini dianggotai 10 negara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Siddharto berkata Sugiono turut dijangka menghadiri Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) yang juga akan dihoskan oleh Malaysia.

“Penyertaan aktif Sugiono mencerminkan komitmen berterusan Indonesia kepada ASEAN serta usaha negara itu mempromosikan Asia Tenggara yang aman, stabil dan makmur selaras dengan kepentingan nasional,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan