BERITA TERGEMPAR | Malaysia hopes ASEAN-Canada Free Trade Agreement negotiations can be concluded soonest possible for mutual benefit - PM Anwar | |
PUTRAJAYA, 3 Julai (Bernama) -- Dua syarikat, iaitu pembekal ais dan pengeluar makanan sejuk beku, bersetuju menangguhkan kenaikan harga produk masing-masing selepas dipanggil Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memberikan penjelasan tentang rasionalisasi langkah semakan harga itu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata susulan pertemuan pada Selasa lepas, kedua-dua syarikat berkenaan telah diberikan nasihat sewajarnya dan disarankan merujuk dengan Bahagian Penguat Kuasa KPDN sebelum menaikkan harga produk masing-masing.
“Kedua-dua syarikat ini telah maklumkan pada 1 Julai lepas (Selasa) bahawa mereka menangguhkan untuk menaikkan harga.
“Kita nasihatkan sekiranya benar, ada maklumat tertentu yang perlu mereka bekalkan yang dituntut di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Apresiasi Rakan Strategik bersempena dengan Sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN di sini hari ini.
Armizan berkata kedua-dua syarikat itu menjelaskan bahawa kenaikan harga produk sama sekali tidak terkait dengan pelaksanaan semakan kadar dan peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST), sebaliknya menegaskan peningkatan kos operasi menjadi faktor kepada langkah berkenaan.
Baru-baru ini, tular dalam media sosial mendakwa Sim Yang Hok Industries Sdn Bhd akan menaikkan harga produk mereka daripada RM3.70 kepada RM6 untuk sebongkah ais, Ramly Burger pula didakwa menaikkan harga produk sebanyak 10 peratus bermula pada 1 Julai 2025.
Armizan berkata syarikat pembekal ais menyifatkan perkara tular yang mengaitkan kenaikan harga disebabkan peluasan skop SST sebagai maklumat palsu dan melaporkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Ramly Burger telah diberikan Notis Pengesahan Maklumat Barang (NPMB) di bawah Seksyen 21 AKHAP 2011 bagi mendapatkan asas kepada cadangan semakan harga produk mereka,” katanya.
Beliau berkata KPDN akan memperkasakan pemantauan dan siasatan secara telus bagi menangani sebarang unsur pencatutan serta memastikan pengguna tidak terbeban.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial