BERITA TERGEMPAR   Malaysia hopes ASEAN-Canada Free Trade Agreement negotiations can be concluded soonest possible for mutual benefit - PM Anwar | 
 WILAYAH - SELATAN > BERITA

Empat Individu Termasuk Dua Warga Vietnam Didakwa Edar, Miliki Lebih 13 Kg Dadah

03/07/2025 04:54 PM

JOHOR BAHRU, 3 Julai (Bernama) -- Empat individu termasuk dua wanita warga Vietnam didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dan memiliki pelbagai jenis dadah.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh, iaitu Ching Hin Leong, 46, Tay Wei Bin, 36, Pham Thi Quy, 26, dan Nong Thi Nhinh, 29, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A Shaarmini.

Untuk pertuduhan pertama, mereka didakwa mengedar dadah jenis serbuk MDMA seberat 12,090 gram di unit No. 25-05, Mercu 1, Blok A3-1, Jalan Tanjung Puteri 1, R&F Tanjung Puteri, kira-kira 12 tengah hari pada 19 Jun lepas. 

Pertuduhan kedua pula, mereka didakwa mengedar dadah jenis pil MDMA seberat 375 gram di lokasi dan waktu sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati hendaklah disebat tidak kurang 15 kali sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatihah Mohd Nizam dan Nor Afiqah Musa, manakala Ching dan Pham diwakili peguam S. Selvanteran dan Siti Nadia Yahya.

Empat tertuduh berkenaan antara lima individu yang ditahan dalam satu operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Johor di sekitar Johor Bahru Selatan, menyaksikan rampasan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai hampir RM3 juta.

Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 3 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes. 

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan di hadapan Majistret Nabilah Nizam, kesemua tertuduh berdepan tiga pertuduhan membabitkan pemilikan dadah di lokasi dan waktu sama.

Pertuduhan pertama, mereka didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 7 gram, manakala pertuduhan kedua dan ketiga masing-masing didakwa memiliki nimetazepam seberat 520 gram dan ketamin seberat 25 gram.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) serta Seksyen 12(3) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun serta sebatan bagi pertuduhan pertama, manakala dua lagi pertuduhan memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya.

Dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret sama, Ching turut didakwa secara individu atas tiga lagi pertuduhan membabitkan pengedaran dan pemilikan dadah di sebuah unit kediaman berbeza pada hari sama.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengedar dadah jenis MDMA seberat 4,645 gram di unit tingkat 7-10, Blok B, Pangsapuri Vista Puteri, Jalan Bayu Puteri 1, kira-kira pukul 3.10 petang.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 15 kali, jika tidak dijatuhkan hukuman mati.

Untuk pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa memiliki ketamin seberat 79 gram dan nimetazepam seberat 28 gram di lokasi dan masa sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 12(2) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda hingga RM100,000 atau kedua-duanya.

Tiada pengakuan direkodkan dan mahkamah menetapkan 4 September untuk tarikh sebutan semula kes dan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Latif dan Amirah Tasnim Saleh.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan