WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pesara ATM Mohon Kebenaran Merayu Dalam Kes Tuntutan Pelarasan Pencen

03/07/2025 06:01 PM

PUTRAJAYA, 3 Julai (Bernama) -- Sebanyak 50 pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memohon kebenaran merayu daripada Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan berhubung tuntutan pelarasan pencen mereka.

Peguam Mohamed Hanif Khatri Abdulla, yang mewakili kumpulan pesara berkenaan, mengesahkan bahawa notis usul difailkan hari ini dan berkata Mahkamah Persekutuan menetapkan 4 Ogos ini untuk pengurusan kes.

Dalam permohonan itu, mereka memohon keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai dua persoalan undang-undang berhubung isu pelarasan pencen.

Pada 4 Jun, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan awal Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa pesara ATM yang bersara sebelum 1 Jan 2013 berhak untuk menyelaraskan pencen mereka kepada kadar dan kaedah yang digunakan untuk pesara yang bersara selepas 1 Jan 2013.

Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa pesara ATM gagal membuktikan bahawa kerajaan, Perdana Menteri, Menteri Kanan Pertahanan dan Majlis Angkatan Tentera Malaysia telah melanggar peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Sebanyak 50 pesara ATM pelbagai pangkat antaranya mejar, leftenan, staf sarjan dan prebet, telah memfailkan saman pemula pada 17 Nov 2022, bagi mendapatkan deklarasi bahawa kerajaan telah melanggar peruntukan di bawah Perkara 137 atau Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, yang dibaca bersama dengan Seksyen 187 Akta Angkatan Tentera Malaysia 1972, kerana gagal melaksanakan pelarasan pencen baharu untuk pesara ATM yang bersara sebelum 1 Jan 2013.

Mereka mendakwa ketidakselarasan pencen itu menyebabkan jurang pencen yang ketara antara pesara ATM yang bersara sebelum 1 Jan 2013 dan mereka yang bersara selepas tarikh tersebut. 

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan