KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang akan dibentangkan di Parlimen pada 31 Julai ini adalah selari dengan hala tuju kerajaan dan Kerangka Ekonomi MADANI, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau yang kini menggalas tugas Menteri Ekonomi berkata apa yang beliau laksanakan pada masa ini adalah untuk memastikan semua kementerian terlibat mempunyai pendirian yang sama dalam merancang pelaksanaan RMK-13.
"Semua kementerian merupakan agensi pelaksana apabila RMK-13 dibentangkan dan diluluskan. Jadi, sekarang kita nak olah (RMK-13) dan kita mahu selarikan ia dengan Kerangka Ekonomi MADANI apabila dilaksana oleh pihak kementerian," katanya dalam sesi audio siar 'Keluar Sekejap' yang dihoskan Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan.
Pada 27 Jun lalu, Ketua Setiausaha Negara yang juga Setiausaha Jemaah Menteri Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar mengumumkan Amir Hamzah diberi tanggungjawab menjalankan tugas dan fungsi Menteri Ekonomi berkuat kuasa serta-merta.
Ini berikutan peletakan jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa 17 Jun, 2025.
Menurut Shamsul Azri, peranan baharu Amir Hamzah itu dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dimaklumkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 25 Jun lepas.
Pada pengumuman itu, Shamsul Azri turut menyatakan tugas utama Amir Hamzah adalah untuk mengolah dan merombak semula inti pati naskhah RMK-13 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 31 Julai, 2025.
Semasa audio siar berkenaan, Khairy turut bertanya tentang maksud merombak semula draf RMK-13.
Menjelaskan perkara itu, Amir Hamzah berkata proses merangka RMK-13 mengambil masa yang lama dan perbincangan Kementerian Ekonomi dengan semua kementerian lain telah banyak kali diadakan.
"Bila kita sampai ke tahap ini, kita kena pastikan apa yang kita keluarkan dalam RMK-13 selari dengan hala tuju kerajaan sekarang.
Beliau menambah penyelarasan dengan pihak kementerian amat penting bagi memastikan rancangan itu tidak sekadar menjadi pelan di atas kertas.
"Jika kementerian tidak melaksanakannya dengan baik, RMK-13 hanya akan jadi pelan atas meja. Kita tidak mahu itu berlaku," kata Amir Hamzah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial