WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Komponen Pencawang Telekomunikasi Dicuri, Tiga Laporan Polis Dibuat

03/07/2025 09:15 PM

KUANTAN, 3 Julai (Bernama) -- Polis menerima tiga laporan berkaitan kecurian komponen kad slot di pencawang telekomunikasi di sekitar Raub semalam. 

Ketua Polis Daerah Raub Supt Mohd Shahril Abdul Rahman berkata laporan berkenaan diterima daripada syarikat telekomunikasi U Mobile, Maxis dan CelcomDigi. 

"Kehilangan kad slot berkenaan menyebabkan gangguan perkhidmatan kepada pengguna kerana gagal memproses data internet daripada rangkaian syarikat telekomunikasi berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Raub di talian 09-3552222. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang Fadzli Mohamad Kamal berkata pihak CelcomDigi giat memulihkan kembali rangkaian dengan menggantikan peralatan yang rosak di samping membuat pemulihan kepada menara berkenaan.

"Setakat 5.30 petang, menara di Pekan Dong, Kampung Gesing, Kampung Chendra Chincin, Kampung Tanjung Putus, Kampung Bukit Pampong, Kampung Jelu, Kampung Gali Hilir, Kampung Hulu Temau dan Sungai Ruan telah berjaya dipulihkan," katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini. 

Semalam, Fadzli dilaporkan berkata sebuah menara komunikasi milik CelcomDigi di Dong, Raub dilaporkan rosak akibat perbuatan vandalisme, sekali gus menjejaskan perkhidmatan di beberapa kawasan sekitar.

Beliau berkata  siasatan awal Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mendapati menara terbabit  berperanan sebagai 'collector' yang menghubungkan beberapa menara pemancar lain.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan