KUCHING, 6 Julai (Bernama) -- Lebih 2,500 peserta menyertai Larian Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) 2025 Sarawak anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui INTAN Kampus Wilayah Sarawak di Dataran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini, hari ini.
Menurut kenyataan JPA, Kuching merupakan lokasi ketiga siri jelajah Larian MAPPA XX selepas Kuantan, Pahang dan Batu Kawan, Pulau Pinang.
“Program larian ini melibatkan penyertaan lebihi 2,500 peserta merangkumi warga perkhidmatan awam dan masyarakat dari seluruh pelosok Sarawak.
“Acara bermula pada pukul 6.30 pagi dengan pelepasan rasmi disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian bagi tiga kategori iaitu 3 kilometer (km), 5km dan 10km,” menurut kenyataan itu.
JPA turut memaklumkan Dr Sim dan pengurusan tertinggi perkhidmatan awam Persekutuan serta Sarawak turut menyertai acara 3KM Walkathon sebagai simbol sokongan dan teladan daripada pengurusan tertinggi kerajaan.
“Program Bitara seumpama ini bukan sekadar acara bersukan, malah merupakan wahana strategik dalam memperkasakan kesejahteraan dan kesihatan masyarakat ke arah gaya hidup yang lebih cergas dan lestari,” menurut kenyataan itu.
Selain acara larian, pelbagai aktiviti seperti pameran reruai melibatkan pelbagai agensi kerajaan turut dianjurkan antaranya Bahagian Pencen, JPA; Suruhanjaya Perkhidmatan Awam; Jabatan Kesihatan Sarawak; Polis Diraja Malaysia; Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Turut diadakan ialah Program Jualan Rahmah yang membuka ruang keterlibatan secara langsung antara rakyat dan institusi kerajaan secara lebih terbuka dan menyeluruh.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial