WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AMM: Malaysia Berpeluang Pecah Kebuntuan SEANWFZ, Tarik Persetujuan Negara Kuasa Nuklear - Penganalisis

06/07/2025 05:16 PM

Oleh Ahmad Aidil Syukri Hamzah

KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) -- Peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 memberi peluang strategik untuk mencorak semula landskap keselamatan serantau khususnya dalam memastikan rantau ini terus bebas daripada senjata nuklear.

Hal ini susulan kenyataan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan baru-baru ini bahawa China dan Rusia bersetuju menandatangani Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ), manakala Amerika Syarikat (AS) sedang meneliti untuk menandatangani perjanjian itu.

Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata perkara itu merupakan satu pencapaian yang memecah kebuntuan hampir dua dekad dalam usaha mendapatkan kesemua lima negara kuasa nuklear iaitu China, Rusia, Perancis, United Kingdom (UK) dan AS menandatanganinya.

Beliau berkata jika kelima-lima negara yang diiktiraf Perjanjian Pengawalan Penyebaran Senjata Nuklear (NPT) itu bersetuju menandatangani perjanjian terbabit, ia bukan sahaja kejayaan bagi ASEAN, tetapi juga menjadi simbol kepimpinan diplomatik Malaysia yang dihormati.

“Malaysia berpeluang muncul sebagai pemudah cara yang berjaya dalam isu keselamatan global yang sangat kritikal. Ini bukan sesuatu yang pernah dicapai mana-mana negara ASEAN sebelum ini, malah ia akan meningkatkan pengaruh Malaysia dalam dialog serantau dan global berkaitan pelucutan senjata dan diplomasi keamanan.

“Setakat ini tiada negara senjata nuklear telah menandatangani protokol ini. Negara seperti China, AS, Perancis, Rusia dan UK yang juga merupakan lima anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), tidak ada satu pun yang menandatangani,” katanya kepada Bernama.

Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Suruhanjaya Zon Asia Tenggara Bebas Senjata Nuklear sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan dijadualkan berlangsung pada Isnin di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), yang akan turut dihadiri AS, Rusia, UK dan China.

Sehubungan dengan itu, Mazlan berkata kejayaan menarik sokongan negara berkenaan akan menjadi legasi besar kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dilihat aktif mengangkat suara negara membangun dalam isu-isu global.

“Jika Malaysia berjaya menyatukan sokongan terhadap SEANWFZ, ia akan membuktikan bahawa ASEAN bukan sekadar pemerhati, tetapi pelaku penting dalam membentuk masa depan dunia bebas senjata nuklear,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) Azril Mohd Amin berkata usaha memperkukuh SEANWFZ dilihat penting bukan sahaja dari segi keselamatan serantau, tetapi juga sebagai komitmen moral dan undang-undang terhadap keamanan global.

Beliau berkata SEANWFZ adalah instrumen sah yang menginstitusikan prinsip pelucutan senjata nuklear di Asia Tenggara, sekali gus menutup ruang kepada sebarang justifikasi penggunaan senjata nuklear oleh kuasa besar di wilayah ASEAN, yang menurutnya menjadikan rantau ini unik kerana memilih pendekatan keamanan kolektif.

“ASEAN menghantar mesej yang jelas iaitu menolak ketidaksamaan strategik, mematuhi norma antarabangsa seperti NPT dan menegakkan prinsip multilateralisme,” katanya sambil menambah mesej berkenaan semakin penting ketika negara-negara pemilik nuklear mempertingkatkan keupayaan persenjataan mereka.

Azril berkata Malaysia perlu mengemudi pendekatan diplomasi baharu yang lebih progresif dan berstruktur, termasuk mengaktifkan semula Suruhanjaya SEANWFZ serta memperkenalkan Pelan Tindakan Lima Tahun untuk memperkukuh pemantauan dan pelaksanaan dengan melibatkan agensi antarabangsa seperti Agensi Tenaga Atom Antarabangsa dan PBB.

Beliau turut mencadangkan Malaysia menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi ASEAN untuk menyatukan pendirian negara anggota antaranya melalui sidang khas dan penubuhan pasukan petugas teknikal bagi menyelaras rundingan dengan kuasa besar.

“Deklarasi Kuala Lumpur 2025 boleh menjadi pemangkin kepada komitmen politik baharu seluruh rantau terhadap perjanjian ini,” katanya.

Sementara itu, Felo Operasi Psikologi Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata usaha Malaysia menghidupkan semula agenda SEANWFZ sangat signifikan dalam menjamin masa depan rantau yang bebas daripada ancaman nuklear, terutama dalam konteks ketegangan kuasa besar yang semakin meningkat.

Beliau berkata pendekatan diplomasi ASEAN yang berteraskan prinsip tidak campur tangan dan kebersamaan memberi kelebihan moral kepada blok itu untuk terus menjadi zon keamanan, dengan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN berpotensi mengangkat semula prinsip berkenaan sebagai model diplomasi damai yang berkesan dalam menangani ketegangan kuasa besar terutama di rantau Indo-Pasifik.

“Diplomasi pertahanan yang diasaskan kepada rundingan dan pencegahan konflik secara damai adalah lebih stabil berbanding pendekatan ketenteraan. Malaysia harus terus mendukung kerangka keselamatan diplomatik ini sebagai alternatif kepada perlumbaan senjata,” katanya.

Noor Nirwandy berkata SEANWFZ boleh berfungsi sebagai instrumen jangka panjang untuk mengekang perebutan pengaruh di perairan ASEAN yang semakin terdedah kepada risiko pertempuran proksi.

Justeru, katanya sokongan kuasa besar terhadap perjanjian itu akan memberi isyarat penting kepada dunia bahawa Asia Tenggara kekal sebagai zon damai, bebas nuklear dan berkecuali.

SEANWFZ yang juga dikenali sebagai Perjanjian Bangkok ditandatangani pada Disember 1995 di ibu negara Thailand oleh 10 negara anggota ASEAN dan berkuat kuasa pada Mac 1997.

Di bawah protokol itu, setiap Negara Senjata Nuklear (NWS) perlu menghormati SEANWFZ dan tidak menyumbang kepada apa-apa perilaku yang merupakan pelanggaran kepada Perjanjian dan protokolnya, tidak menggunakan atau mengancam menggunakan senjata nuklear terhadap mana-mana pihak, serta tidak menggunakan atau mengancam menggunakan senjata nuklear dalam zon berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan