WILAYAH - TIMUR > BERITA

Jangan Terperdaya Video AI Guna Imej Sultan Pahang Tawar Bantuan Kepada Rakyat

06/07/2025 06:34 PM

KUANTAN, 6 Julai (Bernama) --Istana Pahang memaklumkan bahawa penyebaran video menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang memaparkan wajah menyerupai Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkaitan tawaran bantuan kepada rakyat adalah tidak benar.

Istana Pahang menjelaskan video yang disebarkan menerusi beberapa akaun di aplikasi TikTok adalah tidak sahih dan tindakan berkenaan merupakan penyalahgunaan imej  Al-Sultan Abdullah bagi tujuan penipuan serta memperdaya orang ramai.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan video itu, tidak mempercayai sebarang pautan atau maklumat yang terkandung dalam video tersebut serta melaporkannya segera kepada pihak berkuasa sekiranya menerima kandungan yang mencurigakan,” menurut hantaran yang dimuat naik di akaun Kesultanan Pahang di Facebook.

Istana Pahang turut menegaskan bahawa Al-Sultan Abdullah tidak mempunyai sebarang akaun media sosial dan semua aktiviti atau titah secara langsung hanya disiarkan melalui platform media sosial rasmi Kesultanan Pahang dengan akaun sah di Facebook yang mempunyai kira-kira 725,000 pengikut.

Platform media sosial lain seperti Instagram, TikTok, YouTube, Threads dan aplikasi X hanya menggunakan nama Kesultanan Pahang, manakala portal rasmi Istana Pahang ialah istanapahang.my.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan