KUALA TERENGGANU, 6 Julai (Bernama) -- Terengganu FC (TFC) mengumumkan pemain import kelima Raianderson da Costa Morais bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2025/26.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata pemain tengah kelahiran Brazil itu menandatangani kontrak selama semusim bersama skuad Penyu.
Beliau berkata pemain yang lebih dikenali sebagai Careca itu tidak asing lagi dalam kancah Liga-M kerana pernah bermain bersama Perak FC pada 2019 hingga 2021.
“Pemain berusia 30 tahun terkenal dengan kemampuan mencipta peluang, lincah mengawal bola dan penyudah tajam yang menghadirkan ancaman kepada benteng pasukan lawan.
“Careca juga pernah beraksi di Liga Brazil dan Korea Selatan, sekali gus menjadikannya pemain yang cukup matang dari segi pengalaman di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Syahrizan berkata kehadiran Careca menjadi kekuatan untuk TFC memburu kejayaan lebih cemerlang pada musim ini setelah sekadar menduduki tangga kelima Liga Super musim lepas.
Beliau berkata pemain yang bakal menyarung jersi nombor 26 itu akan menjadi watak penting dalam merencana jentera serangan dan membuka ruang kepada penyerang lain.
TFC sebelum ini mengumumkan kemasukan empat pemain import iaitu Nurillo Tukhtasinov (Uzbekistan), Junior Ngong Sam (Cameroon), Yan Mabella (Perancis) dan Gabriel Costa (Brazil).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial