WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Majlis Kebangsaan Palestin Gesa Tindakan Global Hentikan Jenayah Israel

06/07/2025 10:05 PM

RAMALLAH, 6 Julai (Bernama-QNA) -- Majlis Kebangsaan Palestin (PNC) menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan segera untuk menghentikan jenayah pendudukan Israel serta menyediakan perlindungan antarabangsa yang segera kepada rakyat Palestin, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).

PNC menuntut agar Israel dibawa ke muka pengadilan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) atas kekejaman yang dilakukan terhadap orang awam di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki.

Pengerusi PNC Rawhi Fattouh pada Ahad berkata pengusiran puluhan keluarga Palestin dari kawasan Arab Al Malihat di barat laut Jericho adalah satu lagi jenayah baharu yang menambah kepada rekod panjang pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel.

Fattouh menyifatkan tindakan itu sebagai kesinambungan langsung dasar pembersihan etnik dan pengusiran yang sedang dijalankan secara serentak di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

Beliau menegaskan, pengusiran yang dihadapi oleh rakyat Palestin di Tebing Barat, khususnya di Lembah Jordan, tidak boleh dipisahkan daripada pembunuhan beramai-ramai dan kemusnahan besar-besaran yang sedang berlaku di Gaza. Semua tindakan ini dilaksanakan oleh kerajaan pendudukan dengan tujuan mengusir rakyat Palestin dari tanah mereka sebagai sebahagian rancangan penjajahan.

Pengerusi PNC itu menegaskan peluasan dan penempatan haram serta pengusiran rakyat Palestin secara berterusan adalah pelanggaran nyata terhadap Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa (IHL), khususnya Konvensyen Geneva Keempat dan ketetapan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), terutama Resolusi 2334.

Seramai 50 keluarga Palestin dari kawasan Arab Al Malihat di barat laut Jericho, di bahagian timur Tebing Barat diusir  dari kediaman mereka susulan serangan tersusun oleh peneroka haram, yang baru-baru ini mendirikan penempatan baharu di kawasan berkenaan.

-- BERNAMA-QNA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan