WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM Anwar Adakan Pertemuan Dengan Embraer, Perkukuh Komitmen Tingkat Sektor Penerbangan

06/07/2025 11:13 PM

Daripada Arul Rajoo Duran Raj

RIO DE JANEIRO, 6 Julai (Bernama) -- Kerajaan komited untuk memperkukuh ekosistem industri penerbangan negara dan bersedia membantu para pelabur ke arah matlamat itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini akan dilakukan melalui  dasar mesra pelabur, pembangunan bakat tempatan dan kerjasama teknologi berimpak tinggi.

Menurut beliau, ini selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab aeroangkasa utama di rantau ASEAN yang memiliki tenaga kerja berkemahiran tinggi serta ekosistem industri yang kukuh dan berdaya saing.

Anwar berkata demikian menerusi satu kenyataan selepas mengadakan pertemuan bersama delegasi syarikat pengeluar pesawat Brazil, Embraer, yang diketuai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Francisco Gomes Neto, di sini, hari ini.

Pertemuan itu diadakan bagi membincangkan peluang pelaburan strategik, kata Perdana Menteri yang berada di sini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-17 yang berlangsung dari 6-7 Julai.

Selain itu, beliau  berkata, perbincangan juga menyentuh mengenai potensi pelaburan Embraer di Malaysia termasuk kerjasama bersama syarikat penerbangan negara.

"Saya tekankan komitmen kerajaan MADANI untuk memperkukuh ekosistem industri penerbangan" kata Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan.

Beliau berkata Malaysia juga mengalu-alukan penyertaan Embraer dalam pembangunan pusat penyelenggaraan, latihan juruterbang, rantaian bekalan serta inovasi pesawat rendah karbon sejajar kerangka Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Aeroangkasa Negara 2030.

Anwar berkata beliau turut menghargai minat Embraer untuk memperkukuh kerjasama dalam sektor pertahanan melalui usaha mempertingkat keupayaan mobiliti udara Angkatan Tentera Malaysia.

"Kerajaan komited memastikan segala bentuk kerjasama ini diterjemah kepada peluang pekerjaan bernilai tinggi, pemindahan teknologi serta pertumbuhan ekonomi yang inklusif untuk rakyat Malaysia," kata beliau. 

 Embraer, syarikat aeroangkasa global yang beribu pejabat di Brazil terlibat dalam perniagaan penerbangan komersial dan eksekutif, pertahanan dan keselamatan serta penerbangan pertanian.

Syarikat itu mereka bentuk, membangun, mengeluarkan dan memasarkan pesawat dan sistem, menyediakan perkhidmatan dan sokongan selepas jualan kepada pelanggan.

Sejak ditubuhkan pada 1969, Embraer telah membuat penghantaran lebih 9,000 pesawat kepada pelanggannya.

Pada pertemuan itu, delegasi Embraer turut disertai Naib Presiden Hubungan Institusi Globalnya Jose Serrador Neto dan Naib Presiden Kanan, Ketua Rantau bagi Asia Pasifik Raul Villaron.

Manakala Anwar diiringi Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan